PETALING JAYA: Magma Group Berhad (Magma) memperoleh kelulusan pemegang saham untuk melupuskan 20 peratus kepentingan ekuitinya dalam Heritage Lane Sdn Bhd (HLSB) pada nilai RM63 juta, sekali gus membuka laluan kepada pengukuhan struktur modal dan kecairan kewangan kumpulan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Magma, sebuah kumpulan pegangan pelaburan pelbagai dengan kepentingan dalam sektor perhotelan, pembangunan hartanah dan runcit gaya hidup, memaklumkan kelulusan tersebut diperoleh pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) semalam.
“Pelupusan itu melibatkan keseluruhan pegangan ekuiti bukan kawalan Kumpulan dalam HLSB dan dilihat sebagai langkah strategik selaras dengan usaha pengurusan kewangan yang berhemat,” katanya dalam kenyataan.
HLSB merupakan pemilik berdaftar dan pemilik benefisial kepada tiga lot tanah pegangan bebas yang strategik di Seksyen 57, Kuala Lumpur, dengan keluasan keseluruhan kira-kira 67,298 kaki persegi.
Tapak tersebut menempatkan Hotel Impiana KLCC, sebuah hotel empat bintang yang dibina khas, menampilkan 519 bilik tetamu merentasi satu blok hotel 15 tingkat dan sebuah menara 25 tingkat.
Cadangan pelupusan tersebut, yang dilaksanakan melalui anak syarikat milik penuh Magma, Astaka Mekar Sdn. Bhd., melibatkan penjualan 1,000,000 saham biasa dan 1,201 saham keutamaan dalam HLSB dengan pertimbangan tunai sebanyak RM63 juta.
Pertimbangan tersebut ditentukan berdasarkan prinsip pembeli rela, penjual rela dan mewakili premium kira-kira 22.33 peratus berbanding nilai aset bersih terlaras yang boleh diagihkan kepada kepentingan ekuiti 20 peratus.
Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Magma Group Berhad, Datuk Seri Thomas Liang Chee Fong berkata, kelulusan terhadap cadangan pelupusan menandakan satu langkah penting bagi Magma.
“Transaksi ini membolehkan kumpulan membuka nilai daripada pelaburan bukan kawalan sambil mengukuhkan kunci kira-kira dan meningkatkan fleksibiliti kewangan.
“Kami kekal komited terhadap pengurusan modal yang berdisiplin dan pelaksanaan yang berhemat dalam usaha membina nilai jangka panjang untuk para pemegang saham,” katanya.
Selepas penyempurnaan, kumpulan dijangka merealisasikan keuntungan pro forma dianggarkan kira-kira RM20.06 juta.
Transaksi ini juga dijangka mengukuhkan kunci kira-kira kumpulan serta menambah baik kerugian asas sesaham daripada 4.70 sen kepada 2.62 sen berdasarkan asas ilustratif.
Hasil kasar sebanyak RM63 juta dicadangkan untuk digunakan seperti berikut RM45 juta bagi pembayaran balik pinjaman berjangka sedia ada dan kemudahan pemfaktoran, RM12 juta bagi pelaburan dalam perniagaan sedia ada kumpulan, RM4.17 juta bagi keperluan modal kerja am dan RM1.83 juta bagi menampung anggaran perbelanjaan berkaitan cadangan pelupusan tersebut.
Pembayaran balik pinjaman berjumlah RM45 juta dijangka menghasilkan penjimatan faedah tahunan kira-kira RM3.9 juta berdasarkan kadar faedah efektif semasa.
Transaksi ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kumpulan untuk mengukuhkan struktur modal dan kedudukan kewangannya.
Melalui pengewangan pelaburan bukan kawalan, Magma meningkatkan kecairan serta mengukuhkan keupayaannya untuk menyokong perniagaan perhotelan dan hartanah sedia ada.
Cadangan pelupusan ini masih tertakluk kepada pemenuhan syarat-syarat terdahulu di bawah Perjanjian Jual Beli, termasuk kelulusan bertulis daripada Kementerian Ekonomi, yang perlu diperoleh oleh pihak pembeli.
Penyempurnaan dijangka berlaku dalam tempoh tiga bulan selepas pemenuhan syarat-syarat terdahulu tersebut.
Dengan kelulusan pemegang saham yang telah diperoleh, cadangan pelupusan ini mengukuhkan komitmen kumpulan terhadap tadbir urus kewangan yang berhemah dan ketahanan kunci kira-kira.
Pengukuhan struktur modal menyediakan asas yang stabil bagi pelaksanaan berterusan strategi perniagaan kumpulan. – UTUSAN










