564 petugas santuni 31,600 jemaah haji Malaysia

564 petugas santuni 31,600 jemaah haji Malaysia

Zulkifli Hasan bergambar kenangan bersama petugas haji selepas majlis penutup Program Pengukuhan Petugas Haji Tanah Suci 1447H/2026M di Kem Pertama Resort di Alor Gajah malam tadi. -UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seramai 564 petugas akan menyantuni 31,600 jemaah haji bagi musim haji 1447H/2026M kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr. Zulkifli Hasan.

Menurutnya, Tabung Haji (TH) menyediakan 339 orang Petugas Rombongan Kebajikan daripada warga kerja TH, dan anak syarikat TH yang akan berlepas ke tanah suci pada 9 April depan.

Beliau berkata, antara agensi luar turut terlibat seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) dan juga pesara TH.

“Manakala seramai 225 orang lagi adalah Petugas Rombongan Perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merangkumi doktor pakar, doktor, pegawai perubatan, ahli farmasi dan jururawat.

“Saya yakin gabungan petugas baharu dan berpengalaman daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran akan membentuk satu pasukan yang mantap.

“Mereka ini yang dilatih mampu meneruskan kesinambungan kualiti perkhidmatan terbaik kepada para Dhuyufurrahman dalam membina pasukan petugas yang tekun, berintegriti, bertanggungjawab dan professional,” katanya selepas merasmikan majlis penutup Program Pengukuhan Petugas Haji Tanah Suci 1447H/2026M di Kem Pertama Resort di sini malam tadi.

Turut hadir Timbalannya Senator Marhamah Rosli, Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad.

Zulkifli berkata, bagi musim haji tahun ini, penerbangan pertama jemaah haji Malaysia dijadualkan bermula pada 18 April 2026, manakala penerbangan terakhir pada 20 Mei 2026, dengan hari Wukuf dijangka pada 26 Mei 2026.

Sebanyak 100 penerbangan sewa khas disediakan melibatkan AMAL by Malaysia Airlines Berhad dan Saudia Airlines.

Sementara itu beliau berkata, program selama empat hari yang dianjurkan itu bertujuan memastikan semua petugas berada pada tahap kesiapsiagaan dan profesionalisme yang tinggi dalam menyampaikan perkhidmatan kepada jemaah di Tanah Suci nanti.

Katanya, penekanan diberikan kepada aspek kemahiran pengurusan, pematuhan sistem kualiti serta pengukuhan nilai integriti dan ihsan dalam kalangan petugas haji selaku barisan hadapan perkhidmatan haji negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN