KOTA TINGGI: “Isteri saya nampak cantik sebelum maut.” Itu ungkapan sedih Muhammad Asyraf Yatim, 34, selepas kehilangan isteri, Nor Balqis Yazid, 24, dan bayi mereka, Mohd. Bilal Asyraf, dalam kemalangan di Kilometer 65, Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, petang semalam.
Menurut Muhammad Asyraf, kali terakhir dia bertemu arwah isteri dan anaknya adalah kira-kira pukul 6 petang semalam ketika mereka keluar bersama.
Arwah, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di Felda Air Tawar 2, bercuti hari itu dan dalam perjalanan ke bank sebelum merancang keluar makan dengan rakan sekerja.
“Biasanya dia bersiap sederhana, tetapi semalam pakaian dan solekannya luar biasa. Saya sempat puji di dalam hati, dia nampak cantik,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) hari ini.
Muhammad Asyraf menerima panggilan memaklumkan isterinya terlibat kemalangan kira-kira pukul 7 malam dan bergegas ke lokasi, bagaimanapun isteri dan anaknya dimaklumkan sudah tiada.
“Anak sulung berusia lapan tahun mengalami pendarahan di kepala, manakala seorang lagi, empat tahun, pendarahan di perut. Kedua-duanya kini dirawat di zon merah Hospital Sultan Ismail (HSI),” katanya.
Muhammad Asyraf berkata, dia terkilan kerana hasrat arwah untuk keluarga mereka memakai baju raya sedondon berwarna coklat tidak kesampaian, walaupun persiapan lengkap sudah dilakukan.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman dilaporkan berkata, kemalangan melibatkan sebuah lori jenis hino dengan sebuah Perodua Bezza dipandu wanita warga tempatan berumur 24 tahun bersama lima penumpang.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Bezza dipercayai telah dipandu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori tersebut.-UTUSAN










