KPM perkenal kurikulum baharu tahun depan

PARLIMEN: KPM perkenal kurikulum baharu tahun depan

WONG KAH WOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan kurikulum baharu secara berperingkat bermula tahun hadapan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, fasa pengenalan kurikulum baharu itu akan membabitkan murid Tahun Satu dan Tingkatan Satu pada 2027 sebelum diperluas kepada Tahun Dua dan Tingkatan Dua pada 2028.

“Sesuatu kurikulum akan digunakan untuk tempoh tertentu dan apabila sampai masanya, kita akan memperkenalkan kurikulum baharu.

“Semakan kurikulum juga akan dilaksanakan sekiranya terdapat keperluan. Bagi subjek atau mata pelajaran tertentu, semakan kurikulum boleh dilakukan dari semasa ke semasa dan KPM akan pastikan ia selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.

“Bagi mata pelajaran Sejarah, pada peringkat sekolah rendah ia akan ditawarkan kepada murid Tahun Lima dan Tahun Enam, manakala pada peringkat menengah, ia ditawarkan kepada murid bermula di Tingkatan Satu,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) mengenai formula kementerian dalam melaksanakan semakan kurikulum serta tempoh penggunaan sesebuah buku teks sekolah.

Terdahulu, menjawab soalan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat), beliau berkata, kementerian telah mengintegrasikan elemen pendidikan kenegaraan dan politik dalam mata pelajaran Sejarah serta Pendidikan Sivik bagi memberi pendedahan awal konsep demokrasi.

Katanya, pengukuhan literasi politik turut dilaksanakan melalui kerjasama dengan Akademi Pilihan Raya (APR) bagi memberi pengalaman pembelajaran autentik kepada murid mengenai proses pengundian dan tanggungjawab sebagai pemilih.

Selain itu, jelas beliau, bermula tahun ini, Kementerian Pendidikan turut melaksanakan Program Pembentukan Karakter Generasi Madani yang menumpukan empat komponen utama, termasuk pengukuhan nilai patriotisme dan pembinaan jati diri positif dalam kalangan murid.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN