PETALING JAYA: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) menjangkakan kesinambungan persekitaran pelaburan yang lebih stabil pada 2026, disokong pengukuhan mata wang negara baharu muncul Asia, tekanan terhadap dolar Amerika Syarikat (AS) serta kitaran kadar faedah AS yang semakin longgar.
Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, meskipun risiko berkaitan penilaian sektor teknologi dan kecairan pasaran kekal wujud, dana kekayaan negara itu akan terus mempelbagaikan serta mengukuhkan portfolio globalnya.
“Bagi 2026, kami menjangkakan persekitaran pelaburan yang lebih stabil dengan pengukuhan mata wang negara baharu muncul Asia serta tekanan berterusan terhadap dolar AS.
“Prospek banyak bergantung kepada hala tuju kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed). Lazimnya, apabila Fed mula menurunkan kadar faedah, pasaran baharu muncul berpotensi mencatat prestasi lebih baik.
“Khazanah akan terus mempelbagaikan dan mengukuhkan portfolio globalnya sambil kekal optimistik terhadap prospek Malaysia,” katanya pada taklimat media Kajian Tahunan Khazanah 2026 di Mercu UEM di sini.
Menurut beliau, Malaysia dijangka mengekalkan pertumbuhan berdaya tahan, disokong pelaburan swasta dan aliran pelaburan langsung asing yang memberi kesan limpahan kepada ekonomi.
Ketika ini, lebih separuh pelaburan Khazanah berada di Bursa Malaysia manakala 20 peratus dalam ekuiti awam global.
Secara keseluruhan, hampir tiga perempat aset Khazanah tertumpu di Malaysia termasuk pelaburan dalam pasaran swasta dan aset nyata.
Amirul Feisal berkata, memandang ke hadapan,Khazanah terus memperkukuh hala tuju strategiknya berasaskan tiga kluster utama merangkumi keterhubungan, peralihan tenaga dan digital, selari usaha mempercepat pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi kepada negara.
Katanya, dalam kluster keterhubungan, masih banyak usaha perlu dilaksanakan khususnya melibatkan sektor lapangan terbang dan syarikat penerbangan bagi meningkatkan kecekapan serta kapasiti perkhidmatan.
“Dalam kluster peralihan tenaga, tumpuan diberikan kepada pengukuhan daya tahan grid serta pembangunan tenaga boleh diperbaharui, dengan penekanan tambahan terhadap penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk mempercepat kemajuan sektor berkenaan.
“Ini merupakan bidang yang berpotensi untuk dipertingkatkan lagi dan kekal sebagai keutamaan strategik.
“Akhir sekali adalah digital, Khazanah menumpukan usaha memperkukuh prestasi aset seperti data bagi meningkatkan daya tahan operasi serta menambah nilai jangka panjang. Pada masa sama, kerjasama dengan pelbagai pihak akan dipertingkat bagi meneroka lebih banyak inisiatif yang memberi manfaat kepada negara,” jelasnya.
Amirul Feisal berkata, pihaknya masih memberi tumpuan kepada pemodenan grid oleh Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dan sambil menekankan kepentingan portfolio yang seimbang bagi mempelbagaikan risiko dan pada masa sama menjana pulangan kepada pemegang kepentingan.
“Kami akan terus memberi tumpuan kepada keutamaan negara, menyampaikan pulangan mampan, mengukuhkan daya tahan portfolio merentas dimensi kecairan dan risiko serta mempelbagaikan pendedahan global kami,” tambahnya.
Tambahnya, transformasi di Malaysia Airports Holdings Bhd, yang diswastakan oleh Khazanah bersama rakan kongsinya tahun lalu, menyaksikan 15 syarikat penerbangan baharu memulakan perkhidmatan di negara ini manakala pergerakan penumpang telah mencapai 99 peratus daripada paras sebelum pandemik.
Khazanah melabur dalam lebih 8,000 syarikat di seluruh dunia dengan lebih separuh pelaburannya adalah di Bursa Malaysia dan 20 peratus dalam ekuiti awam global. – UTUSAN










