Hasil sektor perkhidmatan RM677.8 bilion pada suku keempat 2025 - Utusan Malaysia

Hasil sektor perkhidmatan RM677.8 bilion pada suku keempat 2025

PENGANGKUTAN diunjur antara penyumpang kepada pertumbuhan sektor perkhidmatan pada 2025. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hasil sektor perkhidmatan Malaysia berkembang 8.0 peratus tahun ke tahun kepada RM677.8 bilion pada suku tahun keempat 2025, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan hasil sektor itu sebanyak RM2.6 trilion bagi tahun 2025, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan tersebut dipacu oleh perkembangan meluas merentasi semua segmen perkhidmatan, sejajar pengukuhan permintaan domestik, pemulihan aktiviti pelancongan serta peralihan berterusan ke arah perkhidmatan digital dan bernilai tinggi.

Segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan mencatatkan pertumbuhan 7.4 peratus kepada RM510.3 bilion, iaitu kadar tertinggi berbanding tiga suku sebelumnya.

“Prestasi ini disokong oleh penganjuran acara antarabangsa berskala besar termasuk Sidang Kemuncak ASEAN yang meningkatkan kehadiran delegasi dan pelawat ke Malaysia. Ketibaan pelawat antarabangsa mencecah 42.2 juta orang, sekali gus merancakkan subsektor pelancongan, penginapan, pengangkutan, makanan dan minuman serta runcit,” katanya dalam satu kenyataan. 

Menurut beliau, penggunaan isi rumah turut disokong oleh program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang membantu meningkatkan pendapatan boleh guna dan mengekalkan momentum perbelanjaan, khususnya bagi barangan keperluan dan perbelanjaan pilihan.

“Tempoh cuti sekolah yang panjang dari pertengahan Disember hingga Januari 2026 juga merangsang pelancongan domestik dan perbelanjaan berorientasikan keluarga, seterusnya meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan berkaitan pengguna.

“Segmen maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan pula berkembang 9.8 peratus kepada RM95.8 bilion pada suku keempat 2025,” katanya. 

Sementara itu, subsektor maklumat dan komunikasi meningkat 9.2 peratus, didorong oleh pertumbuhan dalam telekomunikasi dan perkhidmatan komputer, selain sumbangan awal operasi pusat data yang menyokong permintaan terhadap pengkomputeran awan, penyimpanan dan pemprosesan data.

“Subsektor pengangkutan dan penyimpanan mencatatkan pertumbuhan 10.4 peratus dengan peningkatan dalam pengangkutan darat, pergudangan dan aktiviti sokongan serta perkhidmatan pos dan kurier, sejajar pertambahan aktiviti logistik, mobiliti dan e-dagang.

“Segmen perkhidmatan profesional, hartanah dan pentadbiran serta khidmat sokongan berkembang 8.4 peratus. perkhidmatan profesional dan hartanah masing masing meningkat 7.9 peratus, disokong projek pembangunan dan aktiviti pasaran hartanah yang berterusan,” katanya. 

Subsektor pentadbiran dan khidmat sokongan pula melonjak 9.9 peratus, didorong peningkatan aktiviti perjalanan termasuk umrah serta permintaan terhadap perkhidmatan persidangan dan acara antarabangsa.

Segmen kesihatan swasta, pendidikan swasta, kesenian, hiburan dan rekreasi serta perkhidmatan persendirian dan lain-lain aktiviti mencatatkan pertumbuhan tertinggi iaitu 11.7 peratus, dipacu oleh permintaan berterusan terhadap perkhidmatan kesejahteraan, pendidikan dan gaya hidup.

Dari segi perbandingan suku ke suku, hasil sektor Perkhidmatan meningkat 2.7 peratus berbanding suku ketiga 2025, dengan semua segmen utama mencatatkan pertumbuhan positif.

Pendapatan e-dagang berjumlah RM316.2 bilion pada suku keempat 2025, meningkat 1.8 peratus tahun ke tahun, manakala bagi keseluruhan tahun, nilai transaksi e dagang mencecah RM1.3 trilion, naik 1.9 peratus.

Mengulas pasaran buruh, Mohd. Uzir berkata, guna tenaga sektor perkhidmatan meningkat 2.5 peratus kepada 4.6 juta orang, dengan pertambahan ketara dalam subsektor pengangkutan dan penyimpanan serta perdagangan borong dan runcit.

“Jumlah gaji dan upah sektor ini turut meningkat 5.0 peratus kepada RM35.0 bilion pada suku keempat 2025, sejajar pertambahan pekerja dan aktiviti perniagaan.

“Secara keseluruhan, sektor perkhidmatan menjana hasil RM2.6 trilion pada 2025, meningkat 6.7 peratus berbanding RM2.4 trilion pada 2024, mencerminkan pertumbuhan meluas yang disokong permintaan domestik, aktiviti pelancongan dan pengembangan ekonomi digital,” katanya. 

Dalam pada itu, DOSM menjangkakan sektor perkhidmatan terus mencatatkan prestasi menggalakkan pada 2026, dipacu oleh Tahun Melawat Malaysia 2026, perkembangan pelancongan, pengukuhan ekonomi digital dan peralihan ke arah aktiviti bernilai tambah lebih tinggi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN