PM, Kabinet akan putus tindakan susulan isu saham Azam Baki

PM, Kabinet akan putus tindakan susulan isu saham Azam Baki

M. KULASEGARAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri dan Kabinet akan membuat keputusan mengenai tindakan susulan berhubung dakwaan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memiliki saham bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, tiada sesiapa yang bersalah sehingga dibuktikan dan sebarang keputusan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa hanya berdasarkan laporan sebuah portal berita.

“Perkara ini memerlukan penyiasatan dan keputusan patut dibuat oleh Perdana Menteri dan Kabinet. Saya difahamkan, tidak lama lagi satu keputusan akan dibuat dan kita semua akan diberitahu.

“Ini tidak bermakna kita lari daripada tanggungjawab, tetapi ada hadnya. Kita perlu melakukan penyiasatan yang sewajarnya sama ada ia mengikut undang-undang atau tidak,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab celahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) dan Ramkarpal Singh (PH-Tasek Gelugor) yang mencadangkan Azam direhatkan sementara daripada jawatannya bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh SPRM atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perkara itu susulan laporan sebuah portal berita Bloomberg mengenai pemilikan saham itu.

Hassan turut membangkitkan dakwaan laporan portal berkenaan yang menyatakan pemilikan saham Azam bernilai hampir RM800,000 itu melebihi had RM100,000 yang ditetapkan bagi penjawat awam memiliki saham dalam mana-mana syarikat.

Kulasegaran berkata, berdasarkan semakan beliau setakat ini, tiada sebarang syarat yang menetapkan had tertentu bagi penjawat awam membuat pelaburan.

“Sebenarnya tiada had yang ditetapkan. Yang Berhormat boleh tunjukkan jika ada undang-undang sebegitu, tetapi mengikut Bloomberg, ia menyatakan sebaliknya. Saya periksa dan tidak dapat pastikan. Tiada syarat kukuh bagi penjawat awam untuk melabur.

“Adakah perkara ini sudah dimaklumkan kepada kerajaan? Saya difahamkan ia sudah dilaporkan semasa pelaburan dibuat, maka soalan itu tidak berbangkit pada masa sekarang,” katanya.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan Azam disenaraikan sebagai pemegang 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Berdasarkan harga saham syarikat itu pada penutupan dagangan Isnin, pegangan berkenaan dianggarkan bernilai kira-kira RM800,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN