Harga simen naik hingga 1.7 peratus pada Januari - Utusan Malaysia

Harga simen naik hingga 1.7 peratus pada Januari

Kenaikan harga simen membimbangkan kontraktor yang mungkin menaikkan upah pembinaan bagi menampung kos.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks harga seunit simen mencatatkan peningkatan antara 0.2 peratus hingga 1.7 peratus pada Januari 2026, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Laporan ini menyediakan indeks harga seunit bahan binaan terpilih dan Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) mengikut kategori bangunan dan kawasan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks harga seunit simen mencatatkan peningkatan pada Januari 2026 iaitu antara 0.2 peratus sehingga 1.7 peratus berbanding bulan lepas.

Katanya, peningkatan tertinggi di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (1.7 peratus), diikuti dengan Perak (1.6 peratus) dan Sandakan (0.8 peratus).

“Indeks harga seunit pasir mencatatkan sedikit peningkatan pada Januari 2026, dengan perubahan bulan ke bulan antara 0.5 peratus hingga 3.3 peratus di semua kawasan Semenanjung Malaysia.

“Sementara itu, indeks harga seunit pasir di Sabah dan Sarawak kekal tidak berubah. Indeks harga seunit besi menunjukkan penurunan pada Januari 2026 iaitu antara negatif 0.6 peratus sehingga negatif 3.0 peratus berbanding bulan lepas,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, beliau berkata, indeks harga keratan keluli dan logam turut mencatatkan penurunan pada Januari 2026, dengan perubahan bulan ke bulan antara negatif 0.3 peratus hingga negatif 1.6 peratus di semua kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Jelasnya, perbandingan tahunan untuk tempoh Januari 2025 dan Januari 2026 menunjukkan indeks harga seunit besi telah merekodkan penurunan antara negatif 1.1 peratus hingga negatif 7.6 peratus bagi kebanyakan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Penurunan tertinggi bagi indeks harga seunit bahan telah dicatatkan di Miri (-7.6 peratus) dan diikuti dengan Kuching dan Sibu (masing-masing -7.4 peratus) dan Kota Kinabalu (-7.2 peratus).

“Selain itu, perbandingan tahun ke tahun bagi indeks harga seunit simen pula telah mencatatkan peningkatan antara 0.4 peratus hingga 5.9 peratus pada Januari 2026 berbanding bulan yang sama tahun lalu, bagi seluruh kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Peningkatan tertinggi dicatatkan di Pahang (5.9 peratus), diikuti dengan Perak (5.1 peratus) dan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (4.9 peratus),” jelasnya.

Mohd Uzir berkata, purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars merekodkan penurunan iaitu negatif 1.7 peratus, dengan purata harga RM3,454.00 bagi setiap tan metrik berbanding bulan sebelumnya (Disember 2025: RM3,512.10 per tan metrik).

Tambahnya, purata harga bagi simen Ordinary Portland pula telah mencatatkan peningkatan (3.1 peratus) dengan purata harga RM25.30 bagi 50 kilogram (kg) sekarung berbanding Disember 2025 (RM24.55 bagi 50 kg sekarung).

“Perbandingan bulanan IKB termasuk bar keluli mengikut kategori bangunan dan kawasan di Semenanjung Malaysia mencatatkan peningkatan antara 0.1 peratus hingga 0.6 peratus pada bulan Januari 2026 berbanding bulan sebelumnya.

“Peningkatan ini dicatatkan bagi semua kategori bangunan dan kawasan di Semenanjung Malaysia. IKB termasuk bar keluli di Sabah menunjukkan peningkatan kecil iaitu 0.1 peratus hingga 1.4 peratus bagi hampir semua kategori bangunan pada Januari 2026 berbanding bulan sebelumnya,” katanya.

Menurutnya, perbandingan bulan ke bulan IKB termasuk bar keluli di Sarawak merekodkan penurunan kecil antara negatif 0.5 peratus hingga negatif 1.5 peratus bagi semua kategori bangunan di Sibu.

“IKB bagi hampir semua kategori bangunan di Kuching dan Miri turut mencatatkan penurunan antara negatif 0.1 peratus hingga negatif 1.2 peratus (kecuali indeks kekal tidak berubah bagi kategori bangunan kayu dan cerucuk kayu),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN