Hampir 80% unit di UDA Heights terjual di Johor

Hampir 80% unit di UDA Heights terjual di Johor

UDA Heights menawarkan dua jenis kediaman iaitu banglo dan rumah berkembar dua tingkat di Bandar UDA Utama, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UDA Holdings Berhad (UDA) terus memperkukuh momentum pembangunan hartanah di Johor susulan sambutan memberangsangkan terhadap projek kediaman premium, UDA Heights dengan hampir 80 peratus unit habis dijual.

Agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu berkata, permintaan kukuh melibatkan unit banglo dan rumah berkembar dua tingkat dalam projek berkenaan mencerminkan keyakinan pasaran terhadap pembangunan yang ditawarkan.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Azrudyn Rashid berkata, lebih 70 pembeli telah menerima kunci kediaman masing-masing pada majlis penyerahan kunci yang diadakan baru-baru ini.

Katanya, projek tersebut turut berjaya disiapkan dua bulan lebih awal daripada jadual, sekali gus mencerminkan kecekapan pelaksanaan dan kawalan kualiti pembinaan oleh syarikat.

“Pencapaian ini menjadi pemangkin untuk UDA terus komited membangunkan projek berkualiti tinggi bagi memenuhi keperluan pasaran hartanah negara serta menyumbang kepada kesejahteraan komuniti,” katanya dalam kenyataan.

UDA Heights yang terletak di Bandar UDA Utama menawarkan dua jenis kediaman iaitu banglo enam bilik tidur dan enam bilik air serta rumah berkembar dengan lima bilik tidur dan enam bilik air. 

Kediaman itu direka untuk keperluan tiga generasi, lengkap dengan bilik utiliti, dapur kering dan basah serta tandas mesra orang kurang upaya (OKU).

Projek berkenaan turut mengaplikasikan sistem penuaian air sebagai sebahagian daripada inisiatif pembangunan lestari. 

Unit banglo dengan saiz lot 80 kaki x 90 kaki ditawarkan pada harga bermula RM2.2 juta, manakala rumah berkembar bersaiz lot 50 kaki x 70 kaki bermula RM1.7 juta.

Mengulas perkembangan di Johor, beliau berkata, sehingga kini UDA menerusi UDA Land (South) Sdn. Bhd. telah membangunkan hampir 9,000 unit kediaman dan komersial dengan lebih 70 peratus daripadanya dimiliki pembeli bumiputera.

“Inisiatif ini menyokong pemilikan hartanah dalam kalangan masyarakat majmuk termasuk pembeli pertama dan golongan profesional, khususnya di kawasan bandar,” katanya.

Menurut beliau, pembangunan dirancang secara holistik bagi menyokong kesejahteraan sosioekonomi komuniti serta menjamin nilai jangka panjang kepada pemilik.

“Antara projek yang sedang dibangunkan ialah Sedili Residensi di Tanjung Sedili, Kota Tinggi yang menawarkan 48 unit rumah teres satu tingkat mampu milik berkeluasan kira-kira 861 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air pada harga bermula RM320,060,” katanya. 

Tambahnya, UDA optimis melancarkan tiga projek baharu tahun ini termasuk Residensi Monstera yang menampilkan rumah bandar dua dan tiga tingkat serta projek UDA Amarylis Plot 1 dan Plot 2 yang merangkumi pembangunan rumah teres dua tingkat di Bandar UDA Utama.

“Seiring aspirasi Memenuhi Impian, UDA akan terus memainkan peranan strategik dalam membangunkan bandar, memperkasa usahawan dan membina komuniti mampan melalui pembangunan hartanah dan ekosistem komersial yang dinamik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN