PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) merangka strategi Hab Inovasi Aset Digital (DAIH) bagi 2026 dengan memberi tumpuan kepada pengujian aplikasi sebenar melibatkan stablecoin ringgit dan deposit token.
Bank pusat itu berkata, DAIH telah menerima penyertaan tiga inisiatif untuk menguji penggunaan instrumen berkenaan tahun ini.
Menurutnya, ketiga-tiga inisiatif itu akan memberi tumpuan kepada kes penggunaan pembayaran borong bagi transaksi domestik dan rentas sempadan, termasuk membolehkan penyelesaian aset token.
“Semua inisiatif akan dilaksanakan dalam persekitaran terkawal dengan kerjasama rakan ekosistem termasuk pelanggan korporat, institusi kewangan serta badan pengawal selia lain.
“Kes penggunaan tertentu turut melibatkan penelitian daripada aspek syariah,” katanya dalam kenyataan.
BNM berkata, ujian tersebut akan membolehkan pihaknya menilai kesan terhadap kestabilan monetari dan kewangan, selain menyumbang kepada hala tuju dasar bank pusat itu dalam bidang aset digital.
Katanya, BNM juga merancang untuk memberikan maklumat yang lebih jelas berhubung penggunaan stablecoin ringgit dan deposit token menjelang akhir 2026.
“Usaha ini akan menjadi langkah awal ke arah penyepaduan dengan inisiatif sedia ada BNM, termasuk pembangunan mata wang digital bank pusat borong (wCBDC),” katanya.
Sejak pelancaran DAIH pada Jun 2025, BNM telah mengadakan sesi libat urus dengan lebih 30 peserta industri tempatan dan antarabangsa merangkumi sektor perbankan dan bukan perbankan.
Melalui sesi berkenaan, BNM dapat mengenal pasti serta mengutamakan kes penggunaan berimpak tinggi yang mempunyai nilai tambah jelas dan menyokong pendigitalan sektor ekonomi serta kewangan negara.
BNM menegaskan komitmennya untuk terus memajukan inovasi yang bertanggungjawab dalam bidang aset digital melalui DAIH, di samping meneruskan libat urus dengan bakal pemohon serta memberi tumpuan segera kepada inisiatif yang telah diterima masuk. – UTUSAN










