XPENG perluas rangkaian G6, harga bermula RM158,888 - Utusan Malaysia

XPENG perluas rangkaian G6, harga bermula RM158,888

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bermaz XPENG Sdn. Bhd. memperkenalkan rangkaian standard kenderaan utiliti sukan (SUV) XPENG G6 Ultra Smart Coupe pada harga bermula RM158,888, sekali gus mengukuhkan penawarannya dalam segmen SUV coupe elektrik pintar dengan harga lebih mampu milik.

Pelancaran varian baharu itu melengkapkan barisan XPENG G6 selepas kejayaan pengenalan varian Long Range dan AWD Performance pada Oktober tahun lalu, selaras strategi syarikat untuk memperluas akses teknologi mobiliti elektrik termaju kepada pengguna tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bermaz Auto Berhad, Datuk Seri Francis Lee berkata, pengenalan varian berkenaan mencerminkan komitmen berterusan syarikat untuk memenuhi keperluan pasaran automotif yang semakin berkembang dan beralih kepada elektrifikasi.

“Fokus kami adalah untuk menawarkan kenderaan elektrik pintar yang bukan sahaja meningkatkan pengalaman pemanduan, malah kekal relevan dari segi nilai dan kebolehcapaian.

“G6 Standard Range membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk menikmati teknologi EV termaju tanpa menjejaskan ciri inovasi dan kecerdasan yang menjadi identiti XPENG,” katanya pada Majlis Pelancaran XPENG G6 Standard Range di sini semalam.

Bagi varian pacuan roda belakang (RWD) rangkaian standard, harganya bermula pada RM158,888, RWD Long Range (RM178,888), AWD Performance (RM189,888), manakala varian AWD Black Edition ditawarkan pada harga RM193,888.

Beliau berkata, dari segi teknikal, G6 rangkaian standard dibangunkan berasaskan seni bina SEPA 2.0 milik XPENG yang memfokuskan integrasi perisian, sistem pintar dan kecekapan tenaga.

Jelasnya, varian itu menggunakan bateri 68.5 kilowatt-jam (kWh) yang lebih ringan berbanding versi Long Range, sekali gus menyumbang kepada kecekapan tenaga dan pengendalian yang lebih responsif.

“Selain itu, kenderaan ini juga menyokong teknologi pengecasan ultra pantas 800V 5C, membolehkan pengecasan dari 10 hingga 80 peratus dalam masa kira-kira 12 minit, antara yang terpantas dalam segmennya.

“Ia turut menawarkan jarak pemanduan sehingga 480 kilometer mengikut piawaian WLTP, dengan kadar penggunaan tenaga serendah 16.6 kWh bagi setiap 100 kilometer.

“Bagi aspek keselamatan dan bantuan pemanduan pula, G6 Standard Range dilengkapi sistem XPILOT Assist.

“Ia merangkumi ciri pemanduan pintar seperti Kawalan Jelajah Adaptif, Kawalan Pusat Lorong serta Sistem Bantuan Parkir Autonomi, sejajar dengan peningkatan permintaan pengguna terhadap teknologi pemanduan separa autonomi,” ujarnya.

Sebagai nilai tambah, setiap pembelian XPENG G6 di Malaysia disertakan sama ada pakej pengecasan tanpa had selama dua tahun melalui JomCharge atau wallbox 11 kilowatt (kW) percuma termasuk pemasangan.

Pelanggan turut menikmati waranti pengilang lima tahun atau 120,000 kilometer, selain waranti bateri voltan tinggi selama lapan tahun.

Sementara itu, varian itu hadir dengan warna putih, kelabu, hitam, perak dan ungu, manakala untuk warna dalaman, pembeli boleh memilih sama ada kelabu gelap atau kelabu cerah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN