UDA salur RM60,000 zakat wakalah

UDA salur RM60,000 zakat wakalah, ringankan beban 200 pelajar asnaf

KETUA Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan UDA Holdings, Radziah Mohamed Fadzil (kanan) menyantuni pelajar membeli-belah barangan kelengkapan persekolahan sumbangan UDA sempena Program UDA Cares; Education - Back to School 2026 di Angsana Johor Bahru Mall, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UDA Holdings Berhad (UDA) menyalurkan zakat wakalah berjumlah RM60,000 bagi membantu 200 pelajar asnaf menerusi program UDA Cares: Educational – Back to School 2026, sekali gus memperkukuh komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat. 

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Azrudyn Rashid berkata, pelaksanaan program itu mencerminkan komitmen berterusan UDA dalam menyantuni komuniti setempat, khususnya dalam kalangan masyarakat bumiputera di kawasan pembangunan syarikat.

“Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan meringankan beban kewangan keluarga pelajar asnaf, malah diharap dapat menyuntik motivasi serta keyakinan kepada para pelajar untuk menghadapi sesi persekolahan baharu dengan penuh semangat dan iltizam. 

“Usaha ini selari dengan pelaksanaan CSR UDA yang memberi penekanan kepada pembangunan sosial dan kesejahteraan masyarakat sebagai sebahagian daripada agenda kelestarian syarikat,” katanya dalam kenyataan. 

Menerusi program itu, setiap pelajar menerima peruntukan RM300 untuk membeli kelengkapan persekolahan di Angsana Johor Bahru Mall. 

Mereka turut menerima sumbangan beg sekolah, alat tulis, pensel warna dan bekas minuman sebagai sokongan menyeluruh terhadap keperluan pembelajaran mereka.

Kesemua penerima merupakan pelajar terpilih daripada 10 buah sekolah rendah di sekitar wilayah pembangunan UDA.

Sekolah tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Danga, SK Kompleks UDA, SK UDA 2, SK Kampung Pasir, SK Pengkalan Rinting, SK Tasek Utara, SK Taman Cempaka, SK Seri Kenanga, SK Seri Melati serta SK Perumahan Tampoi 2.

Program berkenaan dilaksanakan sebagai inisiatif tahunan UDA bagi membantu meringankan beban keluarga kurang berkemampuan serta memastikan golongan pelajar asnaf dapat memulakan sesi persekolahan baharu dengan lebih bersedia dan berkeyakinan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×