PETALING JAYA: Teladan Group Berhad mengambil langkah strategik pertamanya di luar Melaka dengan melancarkan Bukit Intan Commercial Centre, sebuah pembangunan komersial pegangan bebas di Seremban, sekali gus mempelbagaikan bank tanah dan pemacu pertumbuhan kumpulan itu.
Pelancaran projek berkenaan sejajar dengan momentum Negeri Sembilan yang semakin menyerlah sebagai antara pusat pertumbuhan ekonomi baharu negara, dipacu pelaksanaan Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) dan Pelan Pembangunan Negeri Sembilan 2045 (RPNS 2045).
Ketua Pegawai Eksekutif Teladan Group Berhad, Allan Ngu berkata, rangka kerja pembangunan jangka panjang itu telah mempercepatkan naik taraf infrastruktur, pengembangan industri serta aliran masuk pelaburan ke negeri berkenaan, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan merentasi sektor pembuatan, logistik, teknologi, tenaga boleh baharu dan perkhidmatan profesional.
“Pelancaran Bukit Intan Commercial Centre merupakan langkah penting buat Teladan dalam usaha mengembangkan perniagaan kami di luar Melaka buat pertama kali.
“Pertumbuhan Negeri Sembilan yang disokong MVV 2.0 dan RPNS 2045 kini diterjemahkan kepada peningkatan pelaburan, penciptaan pekerjaan serta permintaan yang lebih tinggi terhadap ruang komersial berkualiti, menjadikan Seremban sebagai pasaran pertumbuhan yang menarik,” katanya dalam kenyataan.
Bukit Intan Commercial Centre terletak secara strategik dalam kawasan tadahan yang sedang berkembang di Seremban dan mempunyai akses lancar ke Lembah Klang melalui Lebuhraya Utara-Selatan, sekali gus meningkatkan daya tarikan kepada pelabur dan penyewa dari Negeri Sembilan serta Lembah Klang.
Pembangunan itu dirancang sebagai hab komersial dinamik yang menempatkan pelbagai kegunaan perniagaan termasuk runcit, makanan dan minuman, perkhidmatan serta pejabat, bagi memenuhi permintaan ruang komersial yang semakin meningkat seiring pertumbuhan populasi dan perubahan landskap bandar Seremban.
Mengulas lanjut, Allan berkata, dari sudut komersial, projek ini dirangka dengan penekanan kepada kecekapan susun atur, kebolehcapaian dan daya maju jangka panjang bagi memastikan ia kekal relevan dalam persekitaran perniagaan yang sentiasa berubah.
“Objektif kami adalah untuk menyediakan persekitaran komersial yang tersusun dan mampan, yang mampu menyokong keperluan perniagaan masa kini serta menyesuaikan diri dengan keperluan masa hadapan,” katanya.
Tambahnya, pembangunan tersebut dijangka menyumbang kepada pematangan Seremban sebagai pusat bandar dan komersial yang lebih rancak, selain menyokong strategi kumpulan untuk mempelbagaikan aliran hasil dan memperluaskan kehadiran di koridor pertumbuhan baharu. – UTUSAN







