PETALING JAYA: Tekanan kos sara hidup di Asia Tenggara dijangka berlarutan namun rakyat Malaysia antara yang proaktif menyesuaikan diri dengan cabaran ekonomi berpanjangan.
Kajian serantau terbaharu oleh Milieu Insight melibatkan 3,000 responden di enam negara Asia Tenggara mendapati, secara purata 75 peratus rakyat di rantau ini menganggap kos sara hidup sebagai isu nasional paling mendesak.
Namun, sebanyak 80 peratus responden di Malaysia melaporkan mereka secara aktif berusaha memahami dan menjaga kesihatan mental sepanjang 2025, antara kadar tertinggi di rantau ini selepas Thailand dan Filipina.
Ketua Pegawai Eksekutif Milieu Insight, Sundip Chahal berkata, walaupun rakyat Asia Tenggara berdepan tekanan ekonomi yang berlapis, mereka tidak berdiam diri sebaliknya pantas menyesuaikan diri.
“Apabila sokongan tidak sampai seperti diharapkan, isi rumah akan menyesuaikan strategi mereka sendiri. Kesihatan mental kini menjadi sebahagian daripada mekanisme daya tahan rakyat dalam menghadapi ketidaktentuan berpanjangan.
“Memasuki 2026, organisasi, majikan dan pembuat dasar yang memahami perubahan keutamaan ini berpotensi membina semula kepercayaan rakyat, manakala kegagalan berbuat demikian boleh menjejaskan kestabilan sosial dan ekonomi.
“Kajian ini menggambarkan Asia Tenggara, termasuk Malaysia, berada di persimpangan penting antara tekanan ekonomi dan keupayaan adaptasi rakyat,” katanya.
Di Malaysia, sebanyak 70 peratus responden menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan kos sara hidup, lebih rendah berbanding Singapura (86 peratus) dan Thailand (82 peratus), namun masih mencerminkan tekanan yang signifikan ke atas isi rumah.
Dapatan itu menunjukkan tekanan harga bukan bersifat sementara, sebaliknya mula membentuk semula corak perbelanjaan, keutamaan isi rumah serta tahap keyakinan rakyat terhadap keberkesanan dasar awam.
Walaupun pelbagai inisiatif bantuan dan insentif diperkenalkan, tahap kepuasan terhadap sokongan kerajaan kekal sederhana. Kajian mendapati hanya 39 peratus responden di Asia Tenggara merasakan bantuan kerajaan benar-benar membantu mereka mengurus tekanan kos sara hidup pada 2025.
Di Malaysia, sebanyak 46 peratus responden berpendapat bantuan yang diterima tidak mencukupi untuk mengurangkan beban kos, sejajar dengan sentimen di Thailand.
Namun, berbanding beberapa negara lain seperti Filipina dan Indonesia yang mencatat tahap ketidakpuasan lebih tinggi, Malaysia masih berada dalam kelompok pertengahan, mencerminkan ruang penambahbaikan dasar yang masih terbuka tanpa krisis keyakinan yang ketara.
Selain kos sara hidup, isu keselamatan pekerjaan turut memberi tekanan kepada rakyat rantau ini.
Secara purata, sebanyak 42 peratus responden Asia Tenggara melaporkan kebimbangan terhadap kestabilan pekerjaan.
Di Malaysia, walaupun data khusus tidak setinggi Singapura atau Indonesia, kebimbangan terhadap peluang pekerjaan, pertumbuhan gaji dan kelestarian kerjaya kekal menjadi antara faktor yang mempengaruhi sentimen pengguna.
Dalam masa sama, kos penjagaan kesihatan dan kebimbangan terhadap tahap kesihatan diri turut mencetuskan tekanan tambahan kepada isi rumah, sekali gus menuntut keseimbangan antara keperluan asas dan simpanan jangka panjang. – UTUSAN










