Stok minyak sawit mentah tinggi, eksport lemah

Stok minyak sawit mentah tinggi, eksport lemah

HARGA MSM dijangka kekal dalam julat RM4,500 setiap tan pada 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor perladangan berdepan cabaran kritikal dengan paras stok minyak sawit mentah (MSM) tinggi dan eksport yang lemah, meskipun pengeluaran dijangka meningkat tahun ini.

MBSB Research berkata, kebimbangan tersebut berdasarkan pandangan firma penyelidikan itu hasil dari Persidangan dan Seminar Minyak Sawit Malaysia 2026 anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

“la menekankan isu stok pada Disember 2025 mencatatkan paras tertinggi sejak Februari 2019, dengan sebanyak 3.05 juta tan, disebabkan eksport menurun 9.7 peratus tahun ke tahun kepada 15.3 juta tan.

“Ini berikutan permintaan lembap dari negara utama seperti India, China dan Kesatuan Eropah (EU). Kami menyifatkan situasi ini menuntut industri mengubah pendekatan,” katanya dalam nota penyelidikan. 

Jelas MBSB Research, dengan syarikat berkaitan memberi tumpuan kepada usaha peningkatan mekanisasi, program penanaman semula dan kecekapan ladang untuk mengekalkan tahap daya saing.

“Dari segi prestasi 2025, kawasan tanaman naik 1.6 peratus tahun ke tahun kepada 5.70 juta hektar dan pengeluaran MSM mencapai rekod 20.28 juta tan, disokong peningkatan buah tandan segar (BTS) 6.4 peratus tahun ke tahun.

“Selain itu, produktiviti buruh juga meningkat, dengan kadar perahan minyak (OER) sedikit naik kepada 19.74 peratus, menunjukkan peningkatan kecekapan operasi syarikat-syarikat perladangan tempatan.

“Import minyak sawit naik tiga kali ganda, terutama untuk penggunaan kilang oleokimia tempatan, bagi tujuan optimum kos bahan mentah dan pasaran global dikuasai Malaysia dengan 24 peratus,” katanya.

Bagaimanapun, MBSB Research berkata,  perkembangan eksport pula ketika ini menghadapi tekanan daripada Indonesia sendiri dan persaingan sengit melibatkan harga komoditi minyak sayuran lain.

“MPOB turut mengumumkan pelaksanaan sistem baharu sepenuhnya pada 2026, mengintegrasikan platform GeoSAWIT dan e-MSPO, bertujuan menyediakan data lengkap dari penjual buah tandan segar (BTS) kepada pengimport,” katanya. 

Firma penyelidikan berkata, sebagai mematuhi keperluan pasaran global termasuk EUDR serta meningkatkan pengesahan melalui pemetaan geospatial dan pemantauan hutan menggunakan satelit.

“Bagi prospek 2026, kami menjangkakan pengeluaran MSM meningkat 1.0 peratus tahun ke tahun kepada 20.48 juta tan, manakala eksport dijangka menurun sedikit 1.0 peratus tahun ke tahun kepada 15.1 juta tan,” jelasnya. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN