Sentimen pengguna pulih, pembelian barangan kembali meningkat

Sentimen pengguna pulih, pembelian barangan kembali meningkat

LOW NGAI YUEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbelanjaan pengguna di Malaysia menunjukkan tanda pemulihan yang semakin jelas pada suku keempat tahun lalu, apabila orang ramai dilihat mula meningkatkan nilai pembelian dan berani berbelanja untuk barangan yang lebih premium, didorong keyakinan ekonomi yang beransur pulih serta sokongan dasar kerajaan.

Pengarah Urusan Kumpulan Aeon360, Low Ngai Yuen berkata, data dalaman kumpulan itu menunjukkan perbelanjaan pengguna pada suku terakhir tahun lalu meningkat sekitar tujuh peratus tahun ke tahun, manakala pertumbuhan jumlah pembelian berada pada paras sekitar enam peratus, satu perkembangan positif selepas prestasi suku ketiga yang agak lembap.

Menurut beliau, pemulihan itu dapat dilihat menerusi perubahan corak pembelian pengguna, khususnya apabila pelanggan mula menaik taraf kandungan bakul belian, berbanding hanya memilih barangan paling murah sebelum ini.

“Pengguna mungkin tidak secara terbuka mengatakan mereka mempunyai lebih wang, tetapi tingkah laku pembelian mereka menterjemahkan keyakinan itu. 

“Sebagai contoh, mereka kini bersedia memilih produk penjagaan diri pada harga yang sedikit lebih tinggi atau menambah fungsi tertentu dan ini adalah penunjuk sentimen yang semakin positif,” katanya semasa sesi panel Peningkatan Ringgit, Implikasi 2026 di Hari Korporat Malaysia Tahunan ke-18 CGS International 2026, semalam. 

Mengulas lanjut, Ngai Yuen berkata, Aeon360 kini mempunyai kira-kira tiga juta keahlian, yang merangkumi tiga juta keluarga, selari dengan pendekatan kumpulan itu yang menumpukan perkhidmatan berasaskan komuniti dan kejiranan bagi mengurangkan kos operasi serta menawarkan harga lebih kompetitif kepada pengguna.

“Dari segi transaksi, kira-kira 45 hingga 50 peratus pembelian di kaunter bayaran melibatkan ahli, sekali gus membolehkan syarikat menilai tabiat pengguna berdasarkan corak bakul belian, walaupun sebahagian pelanggan masih berbelanja tanpa keahlian,” katanya. 

Mengulas kesan dasar kerajaan, Ngai Yuen berkata, pengenalan subsidi bersasar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada suku keempat tahun lalu memberi impak ketara terhadap kadar kunjungan ke pasar raya besar, khususnya bagi barangan berasaskan komoditi.

“Untuk segmen pasar raya besar, kami mencatat pertumbuhan antara 1.5 hingga 4 peratus sebulan dari segi jumlah pengunjung dan jualan. Ramai pengguna kini memilih pasar raya besar untuk membeli barangan asas kerana item yang layak di bawah SARA lebih tertumpu kepada kategori tertentu,” jelasnya.

Tambahnya, di lokasi yang memberi ruang kepada perbelanjaan budi bicara, pengguna bukan sahaja berbelanja untuk keperluan harian, malah mula merancang percutian, termasuk perjalanan ke luar negara seperti Jepun.

“Permintaan terhadap makanan import dan promosi berkaitan perjalanan juga meningkat pada suku keempat, berbeza ketara berbanding suku ketiga. Ini mencerminkan keyakinan pengguna yang semakin pulih,” tambahnya. 

Dalam pada itu, beliau turut melihat perubahan landskap runcit apabila kedai kejiranan dan pasar mini mencatat pertumbuhan 17 hingga 21 peratus tahun ke tahun, sejajar dengan keutamaan pengguna terhadap kemudahan dan akses pantas, manakala pusat beli-belah kekal relevan untuk pembelian berskala besar dan perancangan jangka panjang.

“Ini bukan sekadar fenomena tempatan, tetapi perbualan global. Format perniagaan akan terus berevolusi dan pemain industri perlu menyesuaikan diri dengan perubahan gaya hidup serta keutamaan pengguna,” katanya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN