KUALA LUMPUR: Semico Capital Bhd. (Semico) mencatatkan permulaan cemerlang pada penampilan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia semalam apabila dibuka pada harga 45 sen, melonjak 80 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) 25 sen.
Saham pembekal mainan, barangan koleksi dan mesin arked itu mencecah paras tertinggi 46 sen setakat pukul 9.03 pagi, menjadikannya antara kaunter paling aktif dengan kira-kira 39.6 juta saham bertukar tangan.
Prestasi kukuh bagi penyenaraian pertama tahun ini tersebut mencerminkan keyakinan tinggi pelabur selepas IPO syarikat berkenaan dilaporkan telah terlebih langgan sebanyak 28.09 kali sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Semico, Tai Lee Chuen berkata, hasil yang diraih daripada IPO tersebut akan digunakan terutamanya untuk mengembangkan segmen mainan dan barangan koleksi kumpulan.
Beliau berkata, langkah itu termasuk meningkatkan inventori barangan popular serta mempelbagaikan lagi rangkaian produk syarikat di pasaran.
“Sebahagian daripada dana tersebut juga akan disalurkan ke arah pengembangan perniagaan mesin arked dan hiburan kami.
“Semico merancang untuk menggantikan 55 daripada 603 mesin arked dan hiburan sedia ada seperti mesin penyepit (claw machine) dan permainan perlumbaan yang telah susut nilai sepenuhnya kerana berusia lebih lima tahun,” katanya dalam majlis penyenaraian syarikat itu di Bursa Malaysia.
Ditubuhkan kira-kira dua dekad lalu, Semico bermula dalam perdagangan mesin arked permainan video dan hiburan sebelum berkembang ke dalam pengedaran mainan serta barangan koleksi.
Kumpulan itu kini mengedarkan produk daripada 53 jenama terkemuka ke pelbagai rangkaian kedai, termasuk jenama popular antarabangsa, Pop Mart.
Mengulas mengenai hala tuju syarikat, Lee Chuen berkata, pihaknya akan terus dipandu oleh falsafah perniagaan yang percaya bahawa aktiviti bermain mampu mencipta detik berharga dan kenangan seumur hidup.
“Dengan matlamat ini sebagai teras utama, kami memandang ke arah masa depan dengan penuh keyakinan untuk terus berkembang dalam industri ini,” katanya.
IPO tersebut melibatkan terbitan awam sebanyak 92.67 juta saham baharu bersama tawaran penjualan 18 juta saham sedia ada.
Hasil daripada penjualan saham sedia ada itu disalurkan sepenuhnya kepada syarikat kenderaan yang dikawal oleh Lee Chuen dan isterinya, Ang Sew Fong yang juga merupakan Pengarah Eksekutif syarikat.
Affin Hwang Investment Bank Bhd. bertindak sebagai penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penanggung jamin tunggal bagi pelaksanaan IPO berkenaan. – UTUSAN










