PETALING JAYA: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) mengumumkan pelantikan Tan Sri Rastam Mohd. Isa sebagai Pengerusi baharu, berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Mantan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri itu bersara pada 2 September 2010, selepas berkhidmat selama lebih 36 tahun sebagai diplomat bagi kerajaan Malaysia.
PUNB berkata, pelantikan terakhir beliau sebelum PUNB adalah sebagai Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif FGV Holdings Berhad (September 2023 hingga September 2025).
“Rastam memulakan kerjayanya dalam Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 17 April 1974.
“Sepanjang kerjaya sebagai diplomat, beliau telah memegang beberapa jawatan penting di luar negara termasuk sebagai Pesuruhjaya Tinggi ke Pakistan (1994 hingga 1996), Duta Besar ke Bosnia Herzegovina (1996 hingga 1998), Duta Besar ke Republik Indonesia (1999 hingga 2003) dan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York (2003 hingga 2005),” katanya dalam kenyataan.
Selepas persaraan, Rastam dilantik sebagai Utusan Khas kerajaan Malaysia ke Brunei Darussalam dan Penasihat di Jabatan Ketua Menteri Sarawak .
“Beliau menerajui Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia sebagai Ketua Eksekutif dan seterusnya Pengerusi merangkap Ketua Eksekutif dari tahun 2014 hingga 2020,” katanya.
Dalam sektor korporat, Rastam pernah dilantik sebagai ahli lembaga pengarah dalam syarikat swasta dan syarikat senaraian awam di Malaysia, termasuk Eversendai Corporation Berhad, Sime Darby Energy Sendirian Berhad dan ING Public Takaful Ehsan Berhad serta berkhidmat sebagai Pengerusi Tropicana Corporation Berhad (2014 hingga 2017) sebelum pelantikan beliau di FGV Holdings Berhad.
Pada Oktober 2024, Rastam dilantik sebagai Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-Mesir (MEBC) dan merupakan ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun (MAJECA).
Rastam merupakan Alumni Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan memiliki Ijazah Sarjana dalam Hubungan Antarabangsa dan Pengajian Strategik dari University of Lancaster itu turut menerima Certificate of Diplomacy dari University of Oxford dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Kepujian) daripada Universiti Sains Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata, kumpulan yakin pengalaman luas Rastam akan menjadi aset yang sangat berharga kepada organisasi.
“Kami di PUNB mengalu-alukan kehadiran Tan Sri Rastam. Kami yakin kepimpinan dan pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang akan memberi nilai tambah yang signifikan kepada PUNB, terutamanya ketika kami meraikan Ulang Tahun ke-35 PUNB pada tahun ini dan memulakan R30, Pelan Strategik 5 Tahun kami (2026-2030) yang bertujuan membawa PUNB ke tahap yang lebih tinggi selaras dengan visi PUNB untuk menjadi pemacu pertumbuhan usahawan Bumiputera,” katanya.-UTUSAN










