PETALING JAYA: Persatuan Perbankan dan Institusi Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) melantik Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank Berhad, Rafe Haneef sebagai presiden baharunya untuk penggal 2025–2028, berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Menurut kenyataannya, Rafe menggantikan Datuk Mohd Muazzam Mohamed yang berkhidmat sebagai presiden dari 2023 hingga 2025.
Katanya, Rafe membawa pengalaman kepimpinan yang luas dan kepakaran industri yang mendalam, dengan rekod prestasi yang kukuh dalam tadbir urus, inovasi dan kewangan lestari.
“Pelantikan beliau datang pada persimpangan penting ketika AIBIM memulakan pelaksanaan Pelan Strategik Tiga Tahun (2025–2027), yang memberi tumpuan kepada pengukuhan kepimpinan industri, mempercepatkan pengantaraan berasaskan nilai dan meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan Islam global.
“Sebagai presiden, beliau akan menerajui AIBIM dalam memacu keutamaan strategik di bawah pelan ini, memupuk kerjasama yang lebih kukuh antara ahli dan pihak berkepentingan serta menyokong inisiatif yang menggalakkan daya tahan, inovasi dan penciptaan nilai jangka panjang merentasi industri perbankan dan kewangan Islam,” katanya.
Sementara itu, AIBIM turut merakamkan penghargaan ikhlas kepada Mohd Muazzam atas kepimpinan dan khidmat bakti beliau, terutamanya dalam memperkukuhkan kerjasama industri dan memajukan agenda perbankan dan kewangan Islam.
Dalam pada itu, pemegang jawatan AIBIM yang lain kekal tidak berubah untuk penggal 2025–2028.
Menurutnya, jawatan yang kekal tersebut adalah naib presiden yang dipegang oleh Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank Berhad, Ahmad Shahriman Mohd Shariff.
Turut mengekalkan jawatan adalah setiausaha oleh Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad, Mohamad Yasin Abdullah dan bendahari yang disandang oleh Ketua Pegawai Eksekutif alrajhi Bank Malaysia, Mohd Syahrul Ishak.
“Pelantikan berterusan mereka memastikan kesinambungan kepimpinan, kestabilan institusi dan momentum berterusan inisiatif strategik dan seluruh industri AIBIM.
“AIBIM berharap dapat bekerjasama rapat dengan Rafe, ahli Majlis dan ahli-ahlinya di bawah kepimpinannya,” ujarnya. – UTUSAN










