PETALING JAYA: Rakyat masih terhimpit dengan kos sara hidup tinggi yang tidak selari dengan pendapatan walaupun prestasi ekonomi negara sering dilaporkan berada pada tahap yang memberangsangkan.
Dari sudut makro, kedudukan ekonomi negara dilihat kukuh dengan kadar pertumbuhan tahunan diunjur sekitar 4.5 hingga 4.8 peratus bagi 2025, selain kadar pertumbuhan jangka panjang sekitar lima hingga 5.3 peratus dalam tempoh 30 tahun.
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, keadaan ekonomi negara dilihat cemerlang dengan inflasi yang kekal rendah manakala kadar pengangguran berada pada paras 3.1 peratus, sekali gus menggambarkan pasaran buruh yang stabil dan peluang pekerjaan yang tersedia.
“Apabila prestasi makro ini dilaporkan, gambaran keseluruhannya kelihatan baik. Malah, potensi pelaburan juga sering diketengahkan, khususnya pelaburan asing hasil lawatan kerja Perdana Menteri ke luar negara, yang memperlihatkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik.
“Tetapi, apabila diteliti secara lebih mendalam, wujud jurang ketara antara angka makro dan realiti kehidupan seharian rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, kadar pengangguran yang rendah tidak boleh dijadikan satu-satunya ukuran kejayaan sebaliknya, kualiti pekerjaan dan tahap upah perlu diberikan perhatian serius.
Menurutnya, sekitar 50 peratus pekerja sektor formal di Malaysia memperoleh gaji kurang daripada RM3,000 sebulan.
“Malah, kumpulan terbesar pekerja sektor formal, iaitu sekitar 22.5 peratus, berada dalam julat gaji RM1,500 hingga RM1,999, yang disifatkan sebagai terlalu rendah untuk menampung kos sara hidup semasa.
“Lebih membimbangkan, sekitar dua juta pekerja berkelulusan tertiari di negara ini kini berdepan fenomena underemployment by skills, apabila pekerjaan dan gaji yang diperoleh tidak setara dengan tahap pendidikan serta kelayakan akademik yang dimiliki.
“Gambaran ini menunjukkan ramai rakyat bekerja, tetapi pendapatan yang diterima tidak mencukupi, terutamanya dalam kalangan kumpulan berpendapatan rendah, separa mahir dan tidak mahir. Kita tidak boleh selesa hanya kerana kadar pengangguran rendah,” katanya.
Mengulas langkah bagi mengurangkan beban rakyat, Noor Azlan berkata, dua komponen utama kos sara hidup yang perlu diberi perhatian segera ialah harga rumah dan kenderaan.
Katanya, jika tekanan kos bagi dua komponen ini dapat dikurangkan, beban kewangan isi rumah akan menurun dengan ketara.
“Teknologi hari ini membolehkan kereta tempatan dihasilkan dengan kos yang lebih rendah, tetapi harga yang dibayar pengguna jauh lebih tinggi kerana komponen cukai. Ini antara faktor utama yang menekan kewangan rakyat.
“Dari aspek perumahan pula, harga rumah yang tinggi terus menjadi beban jangka panjang kepada isi rumah, terutama golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
“Justeru, dasar yang lebih menyeluruh diperlukan bagi memastikan harga rumah dan kos pemilikan kenderaan berada pada tahap yang selari dengan pendapatan rakyat,” katanya.
Tambahnya, cabaran terbesar negara ketika ini adalah memastikan pertumbuhan ekonomi, kemasukan pelaburan dan kemajuan yang dicapai di peringkat makro benar-benar sampai kepada poket rakyat.
“Angka makro memang penting, tetapi kejayaan sebenar ialah apabila rakyat dapat hidup dengan lebih selesa. Jika kos rumah dan kenderaan dapat dikurangkan, tekanan kewangan rakyat akan berkurang dan manfaat pertumbuhan ekonomi akan lebih dirasai di peringkat akar umbi,” katanya. – UTUSAN










