PETALING JAYA: Pertumbuhan pinjaman industri perbankan Malaysia diunjurkan mencecah 4.9 peratus bagi 2025, menyederhana daripada pertumbuhan 5.2 peratus tahun ke tahun pada akhir November 2025, kata CGS International.
Penganalisisnya, Winson Ng berkata, unjuran itu berdasarkan dengan andaian bank mengekalkan momentum pertumbuhan pinjaman bulan ke bulan sebanyak 0.5 peratus pada Disember 2025.
Katanya, ia juga selaras dengan unjuran CGS International bagi pertumbuhan pinjaman bank sebanyak 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada 2025.
“Kami juga mengunjurkan pertumbuhan pinjaman 4.5 hingga 5.5 peratus pada 2026, disokong unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.6 peratus pada berbanding unjuran 4.7 peratus pada 2025.
“Pertumbuhan dianggarkan 5.0 hingga 5.5 peratus bagi pinjaman isi rumah dan sekitar lima peratus bagi pinjaman perniagaan,” katanya dalam nota penyelidikan.
Beliau berkata, pertumbuhan pinjaman industri perbankan Malaysia menyederhana daripada 5.4 peratus tahun ke tahun pada akhir Oktober 2025 kepada 5.2 peratus pada akhir November 2025, sejajar dengan anggaran firma sebanyak 5.2 peratus.
Menurutnya, penyederhanaan ini didorong terutamanya oleh segmen pinjaman perniagaan yang berkembang lima peratus pada akhir November 2025, berbanding pertumbuhan 5.5 peratus pada akhir Oktober 2025.
“Sementara itu, pertumbuhan pinjaman isi rumah kekal stabil pada 5.7 peratus pada akhir Oktober 25 dan November 2025,” ujarnya.
Jelasnya, jumlah pinjaman terjejas kasar (GIL) industri perbankan meningkat RM430.2 juta atau 1.3 peratus bulan ke bulan pada November 2025, namun jumlah peruntukan keseluruhan menurun RM459.6 juta bulan ke bulan pada bulan yang sama.
“Kami berpandangan keadaan ini disebabkan oleh kemungkiran pinjaman korporat yang dilindungi dengan cagaran mencukupi, menjadikan keperluan peruntukan tambahan adalah minimum,” katanya.
Firma pelaburan tersebut mengekalkan pendirian ‘overweight’ ke atas bank-bank Malaysia, disokong oleh potensi pemangkin penilaian semula melalui penulisan balik pengurusan tambahan, penambahbaikan margin faedah bersih (NIM) pada 2026 serta jangkaan peningkatan nisbah pembayaran dividen bagi kebanyakan bank.
“Risiko penurunan utama adalah kemerosotan ketara dalam pertumbuhan pinjaman dan kualiti aset.
“Maybank kini menjadi pilihan utama baharu sektor, menggantikan Hong Leong Bank. Kami menyukai Maybank berikutan unjuran pengembangan pulangan ekuiti (ROE) daripada 10.7 peratus pada tahun kewangan 2024 kepada 11.5 peratus pada 2027.
“Selain itu, hasil dividen Maybank sebanyak sebanyak 6.5 peratus (unjuran) bagi tahun kalender 2026 adalah antara yang tertinggi dalam sektor ini,” jelasnya. – UTUSAN










