Pengeluaran getah asli menurun 29.6 peratus pada November 

Pengeluaran getah asli menurun 29.6 peratus pada November 

PENGELUARAN getah asli Malaysia merosot.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluaran getah asli menurun 29.6 peratus pada November 2025 kepada 20,891 tan, berbanding 29,673 tan pada Oktober 2025, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 48.2 peratus (November 2024: 40,341 tan). 

Katanya, pengeluaran getah asli Malaysia pada November 2025 disumbangkan terutamanya oleh pekebun kecil sebanyak 83.3 peratus, berbanding estet (16.7 peratus). 

“Jumlah stok getah asli pada November 2025 menurun 17.3 peratus kepada 120,208 tan, berbanding 145,422 tan pada Oktober 2025. Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 76.7 peratus diikuti kilang pengguna getah (23.1 peratus) dan estet getah (0.1 peratus). 

“Eksport getah asli Malaysia berjumlah 37,150 tan metrik pada November 2025, menurun 29.8 peratus berbanding Oktober 2025 (52,932 tan metrik). 

“China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu menyumbang 50.8 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada November 2025 diikuti Jerman (15.1 peratus), Emiriah Arab Bersatu (12.5 peratus), Amerika Syarikat (5.7 peratus) dan Turkiye (2.2 peratus),” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah. 

Menurutnya, produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM0.9 billion pada November 2025, menurun 25.8 peratus berbanding Oktober 2025 (RM1.2 billion).

“Analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan peningkatan iaitu 0.4 peratus (November 2025: 571.93 sen sekilogram; Oktober 2025: 569.84 sen sekilogram), manakala sekerap menurun 1.8 peratus (November 2025: 589.83 sen sekilogram; Oktober 2025: 600.44 sen sekilogram). 

“Trend harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) menurun 1.7 peratus dan meningkat 0.2 peratus.

“The World Bank Commodity Price Data melaporkan harga November bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) menurun 0.2 peratus daripada AS$1.712/kg kepada AS$1.708/kg dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) meningkat 1.4 peratus daripada AS$2.00/kg kepada AS$2.03/kg. 

“Menurut Malaysia Rubber Board Digest keluaran November 2025, pasaran getah Kuala Lumpur dibuka bercampur-campur pada November, dibebani oleh harga minyak yang lebih rendah, ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar AS dan kebimbangan terhadap data ekonomi yang lebih lemah daripada AS dan China,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, kerugian selanjutnya dihadkan oleh kebimbangan mengenai gangguan bekalan yang disebabkan oleh hujan lebat di negara pengeluar utama, jangkaan lebih kukuh terhadap pengurangan kadar AS dan hubungan perdagangan AS dan China yang bertambah baik.

Tambahnya, ia juga dihadkan dengan perkembangan positif dalam sektor semikonduktor, jangkaan rangsangan tambahan daripada Beijing, jualan kenderaan elektrik (EV) global yang kukuh dan kelewatan satu tahun dalam pelaksanaan Peraturan Deforestasi Kesatuan Eropah (EUDR). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN