OPR kekal sokong kestabilan hartanah - Utusan Malaysia

OPR kekal sokong kestabilan hartanah

MALAYSIA merupakan antara destinasi pilihan orang kaya dari China untuk membeli rumah berharga lebih AS$5 juta. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) adalah langkah tepat yang membantu mengekalkan kestabilan pasaran hartanah serta menyokong permintaan pengguna.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, Malaysia kini berada dalam “zon emas” dari segi ekonomi, dengan kadar inflasi yang terkawal dan kadar faedah yang stabil.

“Apabila OPR dikekalkan, kos pembiayaan menjadi lebih stabil dan mudah diramal, bukan sahaja untuk industri hartanah tetapi juga untuk pembeli rumah. Ini membantu mengekalkan keyakinan pengguna dan menyokong pasaran hartanah secara keseluruhan,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Semalam, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM mengekalkan OPR pada 2.75 peratus pada mesyuarat pertamanya bagi tahun ini.

Pada tahap OPR semasa, MPC berpendapat bahawa pendirian dasar monetari adalah wajar dan memberikan sokongan terhadap ekonomi dalam keadaan harga yang stabil.

Menurut Kashif, kadar faedah yang stabil memastikan bayaran pinjaman perumahan kekal konsisten, sekali gus memberi lebih ruang kepada isi rumah untuk perbelanjaan lain dan memudahkan pembeli baharu mendapatkan pembiayaan.

Mengulas sama ada pemaju masih menawarkan insentif menarik walaupun OPR tidak berubah, Kashif berkata, keputusan tersebut tidak berkait secara langsung dengan OPR.

“Ia lebih bergantung kepada kedudukan pemaju dalam kitaran jualan dan tahap inventori mereka. Setiap pemaju membuat keputusan berdasarkan situasi masing-masing,” katanya.

Dari sudut pelaburan, Kashif berkata, hartanah kediaman dalam segmen pertengahan di kawasan bandar yang kukuh kekal sebagai pilihan paling stabil.

“Ini kerana segmen ini melibatkan majoriti rakyat Malaysia. Permintaannya konsisten, mudah disewakan dan mudah dijual semula,” katanya. 

Selain itu, Juwai IQI melihat beberapa kawasan masih mempunyai potensi pertumbuhan yang kukuh. 

“Antaranya Johor, yang mendapat manfaat daripada aktiviti rentas sempadan dan pembangunan infrastruktur baharu, selain mencatatkan kenaikan harga rumah terpantas dalam indeks harga terkini.

“Pulau Pinang pula terus disokong oleh sektor pelancongan serta industri semikonduktor dan elektronik, manakala Wilayah Koridor Utara kekal menarik minat pelabur.

“Peluang pelaburan sebenarnya wujud di hampir setiap negeri, asalkan pembeli dan pelabur membuat kajian yang menyeluruh,” katanya.

Dari segi pulangan sewaan, Kashif mendedahkan, kebanyakan kawasan di Malaysia kini mencatatkan hasil sewaan yang lebih tinggi berbanding kadar faedah pinjaman perumahan.

“Secara umumnya, bayaran ansuran pinjaman kini lebih rendah berbanding kadar sewa untuk hartanah yang sama,” katanya. 

Lima bank utama Malaysia ketika ini menawarkan kadar faedah pinjaman perumahan antara 3.9 peratus hingga 5.1 peratus bagi pinjaman RM350,000 untuk tempoh 30 tahun.

Bagi pembeli yang merancang untuk memiliki hartanah kedua sekiranya OPR kekal untuk tempoh panjang, Kashif mencadangkan agar pembiayaan kadar tetap atau separa tetap dipertimbangkan sebagai perlindungan sekiranya berlaku kenaikan kadar faedah pada masa hadapan.

“Selain itu, beliau menekankan kepentingan memilih hartanah yang mempunyai permintaan sewaan tinggi atau terletak di kawasan yang bakal menerima pembangunan infrastruktur baharu,” katanya. 

Mengulas kesilapan lazim dalam persekitaran kadar faedah yang stabil, Kashif memberi amaran agar pelabur tidak meminjam secara berlebihan.

“Kesilapan terbesar ialah membeli aset yang tidak mampu ditanggung apabila kadar faedah meningkat semula. 

“Pelabur bijak akan membina rizab tunai, mengurangkan hutang, dan memilih aset dengan aliran tunai yang selamat seperti hartanah sewaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN