Ribut musim sejuk luar biasa badai Amerika Utara

Ribut musim sejuk luar biasa badai Amerika Utara

PENDUDUK berjalan ketika salji lebat turun di Prospect Park di Brooklyn, New York.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Satu ribut musim sejuk luar biasa dijangka membadai lebih 160 juta rakyat Amerika Syarikat (AS), berikutan fenomena vorteks kutub yang membawa udara sejuk melampau dari Artik bersama salji tebal dan hujan lebat.

Ribut Artik yang dinamakan Fern diramal menyelubungi lebih separuh daripada kawasan benua AS, merentasi dari Texas dan wilayah Great Plains sehingga ke negeri-negeri di Atlantik Tengah dan Timur Laut.

Saintis berpendapat peningkatan kekerapan gangguan vorteks kutub seperti ini mungkin mempunyai kaitan dengan perubahan iklim, walaupun perdebatan mengenainya masih belum mencapai kata putus dan faktor variabiliti semula jadi turut memainkan peranan.

Vorteks kutub merupakan satu wilayah besar udara sejuk bertekanan rendah yang berputar mengikut arah lawan jam jauh di atas kawasan Artik, iaitu dalam lapisan stratosfera sekitar 10 hingga 50 kilometer dari permukaan bumi.

Dalam musim sejuk yang tipikal, ia membentuk sistem bulat yang padat dan berfungsi untuk mengekalkan udara paling sejuk di garisan lintang utara yang tinggi.

“Biasanya vorteks ini berputar dengan stabil dan memberi kesan kecil kepada cuaca kita. Namun sekali-sekala, ia bergerak atau mengunjur ke arah selatan merentasi Amerika Utara, membawa bersama gelombang sejuk yang mendadak,” jelas, Saintis Kanan Pusat Penyelidikan Iklim Woodwell, Jennifer Francis kepada AFP.

Terdapat persetujuan luas seperti yang dicerminkan dalam penilaian badan sains iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Artik sedang mengalami pemanasan jauh lebih pantas berbanding purata global, melalui proses yang dikenali sebagai ‘penguatan Artik’ dan perubahan iklim akibat faktor manusia adalah punca di sebaliknya.

Cohen berhujah pemanasan yang tidak sekata ini membantu menguatkan gelombang atmosfera besar di Eurasia, yang seterusnya menyebabkan vorteks kutub lebih kerap melimpah ke Amerika Utara.

“Kajian menunjukkan anomali dalam vorteks ini berlaku lebih kerap dalam dunia yang semakin panas, yang cenderung membawa kepada cuaca musim sejuk yang ekstrem secara lebih kerap,” kata Francis.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×