Tempuh laluan gayat, berliku demi keindahan Amalfi

Tempuh laluan gayat, berliku demi keindahan Amalfi

PEMANDANGAN bandar Sorrento yang indah dari tebing tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENELUSURI keindahan pantai Amalfi dalam media sosial membuatkan hati saya dan keluarga melonjak-lonjak mahu menjejakkan kaki ke lokasi tercantik di Itali itu pada suatu hari nanti.

Bangunan-bangunan berwarna-warni di lereng-lereng curam menghadap laut biru dengan reka bentuk Rom dan zaman kuno, disulami seni bina tempatan menjadikan kami cukup teruja.

Keunikan sedemikian menjadikan pesisiran pantai berkenaan menjadi pilihan pengarah filem antarabangsa termasuk dari Hollywood dan Bollywood sebagai lokasi penggambaran filem-filem terkenal sejak 1950-an seperti Leoni al Sole, Goodbye Mr. Chips, Only You, A Spasso Nel Tempo, Under the Tuscan Sun, Nine, War, Tenet, Beat the Devil, Wonder Woman, Under the Amalfi Sun dan A Good Woman.

Akhirnya impian itu menjadi kenyataan apabila terpampang di depan mata kami pesisiran Amalfi yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO). Kami berpeluang menyusuri pantai sepanjang 50 kilometer (km) itu yang terletak antara Teluk Naples dan Teluk Salerno di selatan Itali, baru-baru ini.

Bagi yang ‘lemah semangat’ dan gayat, disarankan datang naik feri. Ada banyak laluan berliku yang sempit dengan gaung menanti jika memandu ke sini.

Itu belum lagi berdepan pemandu dan penunggang motosikal Itali yang ‘gila-gila’! Diiringi rakan, Angelo, anak jati Naples, dia memandu van membawa kami menuju bandar pertama, iaitu Sorrento melalui lebuh raya.

Dari lebuh raya ini boleh nampak gunung berapi Vesuvius yang masih aktif dan dianggap paling berbahaya di dunia berikutan kepadatan penduduk di sekitarnya. Pada 79 Masihi, gunung ini meletus dan memusnahkan bandar Pompeii dan Herculaneum.

Ia meletus berkali-kali selepas itu dan terakhir pada 1944. Batu-batu daripada letusan gunung berapi ini juga digunakan dalam pembinaan lebuh raya yang dapat kami lihat di beberapa lokasi.

Kami keluar dari lebuh raya menuju Castellammare di Stabia. Sebelum sampai di bandar ini, ada tiga terowong keseluruhannya sepanjang 5 km perlu ditempuhi.

Keluar dari terowong ketiga, maka bermulalah cabaran perjalanan kerana jalan semakin sempit dan bengkang-bengkok. Castellammare di Stabia menghadap Teluk Naples dan menyajikan pemandangan lautan biru yang menawan.

Namun, nasib kami kurang baik kerana hujan sekali gus tidak dapat keluar dari kenderaan untuk merakamkan gambar. Lalu kami meneruskan perjalanan ke Sorrento kira-kira 10 km dari situ.

SORRENTO

Hujan secara tiba-tiba berhenti dan mentari menyinari sebaik sahaja tiba di Sorrento, seolah-olah menyambut kehadiran kami seraya mengucapkan ciao (helo)! Bandar ini terkenal dengan lemon terbaik di Itali dan ada banyak dusun buah itu yang diusahakan selama lapan keturunan.

Aroma kuat, kulit tebal yang kaya dengan minyak pati, isi berjus menjadikan lemon Sorrento sebagai yang terbaik di dunia. Lemon adalah simbol ikonik dalam budaya dan masakan Itali.

Dapat dilihat pokok lemon ditanam di tepi-tepi jalan sebagai hiasan. Kami meneroka sekitar Piazza Tasso iaitu sebuah dataran awam selama sejam yang meriah dengan kafe-kafe dan kedai-kedai cenderahati.
Paling menarik, Corso Italia terletak dalam kawasan sama yang merupakan pusat beli belah terkenal dengan barangan kulit berkualiti tinggi, seramik, ukiran kayu, minyak zaitun dan kraftangan.

POSITANO

Kami seterusnya ke Positano dan sekali lagi perlu menempuh laluan berliku-liku di lereng gunung yang sangat mendebarkan. Kira-kira 30 minit kemudian kami tiba di bandar yang dianggap antara lokasi paling cantik di planet Bumi.

Ya, tidak dinafikan pemandangan yang disajikan Positano sangat indah. Bangunan-bangunan kediaman dan hotel berwarna-warni tersusun secara bertingkat di lereng gunung.

Umpama duduk di atas kerusi bertingkat dalam panggung wayang manakala pantai serta kebiruan Laut Tyrrhenia di depan kami seperti filem yang ditonton. Jalan raya di bandar ini sehala dan sempit, muat-muat sebuah kenderaan sahaja.

Semasa menikmati makan tengah hari di sebuah kafe, jarak kenderaan-kenderaan yang lalu hanya sedepa dari meja kami. Kami cuba sandwic tuna kerana Positano memang dikenali dengan makanan laut.

Memang sedap! Sudah kenyang perut, kami berjalan kaki menuju pantai terkenal di bandar ini, Spiaggia Grande.

Kami melewati kafe-kafe, butik-butik kecil menjual pakaian dan pelbagai barangan yang ada kaitan dengan lemon, juga bengkel-bengkel ketukangan seperti sandal kulit dan seramik.

Kami tiba di pantai 10 minit kemudian.

Biasanya pada musim panas, barisan payung biru menanti pengunjung. Namun, berikutan musim luruh, suasana sedikit lengang kerana tidak ramai berjemur.

Puas ambil gambar, kami berjalan semula ke van. Kalau tadi menuruni bukit, kali ini mendaki pula.

Mengah dibuatnya, terpaksa berhenti beberapa kali untuk ambil nafas. Disebabkan waktu siang lebih pendek pada musim luruh, kami tidak perlu tunggu lama untuk menghayati suasana matahari terbenam yang mempesona.

Pantulan cahaya matahari menjadikan laut berkilauan seperti emas. Umpama menatap sebuah lukisan tergantung pada dinding rumah.

AMALFI

Kami meneruskan perjalanan ke bandar Amalfi terletak kira-kira 12 km lagi. Laluan kali ini lebih ‘menggerunkan’ dengan curam tinggi di sebelah kenderaan kami. Nampak dari atas, sayup-sayup gaung jauh di bawah.

Sudahlah seperti ular kena palu, perlu melalui beberapa terowong pula. Terbayang-bayang dalam kepala jika berlaku gempa bumi dan kenderaan kami terbenam di bawah runtuhan batu-batu, kecut perut bila memikirkannya!

Dalam perjalanan, Angelo menunjukkan vila milik pelakon Itali terkenal pada 1950-an, Sophia Loren. Vila berwarna putih terletak di lereng bukit menghadap laut itu kini menjadi salah satu mercu tanda Amalfi.

Sama seperti Sorento dan Positano, bandar Amalfi juga menyajikan pemandangan menarik di mana bangunan-bangunan bersusun di lereng bukit menghadap laut. Kami sempat merakamkan gambar di mercu tanda Duomo di Sant’ Andrea dengan 62 anak tangga yang bercirikan reka bentuk Arab-Norman.

Seni bina ini merupakan gabungan unik Arab (Islam), Byzantine (Kristian) dan Norman (Viking) yang mencerminkan pertembungan budaya yang harmoni pada zaman dahulu.

Reka bentuk sebegini terus berkembang di Sicily pada abad ke-12.

Tidak lengkap kunjungan ke Amalfi jika tidak menikmati ais sorbet lemon. Pencuci mulut yang sangat popular pada musim panas di kawasan Mediterranean khususnya Itali ini diperbuat daripada jus lemon, air, gula, tanpa susu dan krim.

Rasanya? Masam-masam manis, tapi enak serta menyegarkan!

Berharga 16 euro atau bersamaan RM76, kami tiga beranak berkongsi menikmatinya dan memadai kerana saiznya yang besar.

Pengkaji sejarah pernah menyatakan sorbet lemon berasal dari Sicily. Pada zaman itu, penduduk tempatan mencampurkan ais yang dikutip dari gunung berapi Etna dengan jus lemon bagi menghasilkan pencuci mulut menyegarkan.

Oh ya, jangan lupa bawa pulang buah tangan bertemakan lemon di sini sebagai kenang-kenangan.

RAVELLO

Kami meninggalkan bandar Amalfi dengan kepuasan sebab dapat menikmati sorbet lemon yang memang diidam-idamkan sejak menjejakkan kaki di Itali. Lokasi terakhir kami ialah Ravello, terletak kira-kira 6 km.

PENULIS (tengah) bersama ahli keluarga bergambar berlatarbelakangkan pemandangan matahari terbenam di Positano.

Keadaan sekeliling gelap kerana sudah malam sekali gus mengingatkan pengalaman saya memandu dari Kundasang ke Kota Kinabalu, enam tahun lalu. Suasananya hampir serupa – gelap pekat, hanya berharap pada suluhan lampu kereta sejauh 30 meter untuk menyusuri laluan bengkang-bengkok di lereng gunung.

Namun, Angelo tenang memandu sehinggalah sampai ke destinasi. Kami tidak singgah lama di Ravello kerana sudah lewat malam, lagipun tiada pemandangan menarik boleh dirakam.

Kami selamat pulang ke bandar Naples berbekalkan 1,001 kenangan manis. Peluang menyusuri sudut kecil di Itali itu yang memiliki keindahan cukup hebat masih terbayang-bayang dalam fikiran kami sehingga hari ini.

Malah, sesekali ia datang dalam mimpi kami! Arrivederci Amalfi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×