‘Ada masa kami pulang dengan tangan kosong’ - Utusan Malaysia

‘Ada masa kami pulang dengan tangan kosong’

ZULKIFLI Said (kanan) bersama Zainuddin Hassan ketika ditemui di Bandar Jerteh, Besut, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Nasib pemandu teksi dan kereta sewa di Bandar Jertih di sini, ibarat nyawa-nyawa ikan apabila pendapatan mereka terjejas teruk sejak beberapa tahun lalu.

Zulkifli Said, 55, berkata, situasi itu ekoran kesukaran mendapatkan penumpang, se­lain persaingan dengan per­khidmatan e-hailing serta bas henti-henti.

“Jika dahulu dengan membawa teksi kami boleh menyara keluarga tetapi kini ia tidak dapat lagi jadikan sebagai sumber pendapatan utama.

“Kini untuk mendapatkan satu trip perjalanan pun sukar, kadang kala kami pulang de­ngan tangan kosong,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Menurut Zulkifli, selain terpaksa bertahan demi sesuap nasi, pemandu teksi tetap perlu mengeluarkan modal bagi mematuhi peraturan ditetapkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi menjamin keselamatan semua pihak.

“Setiap tahun dalam tempoh tertentu kita perlu menghantar kenderaan untuk pemeriksaan kenderaan bagi memastikan kereta dalam keadaan baik dan menepati piawaian ditetapkan. Untuk itu kita memerlukan perbelanjaan sekitar RM500 hingga RM600.

“Namun dalam keadaan sekarang, pemandu teksi tidak mempunyai pendapatan menyebabkan kami terpaksa mencari modal lain atau membuat kerja tambahan semata-mata untuk memastikan kenderaan kami ini selamat ketika membawa penumpang,” katanya.

Seorang lagi pemandu teksi, Zainuddin Hassan, 61, berkata, pemindahan sementara Stesen Bas Bandar Jertih ke Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Jabi turut memberi kesan kepada mereka.

“Dulu stesen bas di bandar ini bersebelahan dengan ste­sen teksi, jadi penumpang bas turut menggunakan khidmat kami untuk pulang ke destinasi.

“Sebaik sahaja turun dari bas mereka akan naik teksi. Situasi ini tidak lagi berlaku selepas pemindahan sementara stesen bas itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN