NISSAN Malaysia dijangka merasmikan Nissan Serena generasi keenam iaitu C28 dengan teknologi e-POWER sekitar Mac ini, sebelum sambutan Hari Raya.
Tempahan bagi model tersebut sudah dibuka dan dilaporkan sudah melepasi 400 unit, dengan penghantaran kepada pelanggan pra tempahan dijangka bermula sebaik pelancaran rasmi dibuat.
Penulis telah dijemput untuk menyertai sesi pandu uji media Nissan Serena C28 e-POWER dari Nissan cawangan Petaling Jaya ke Kuantan.
Walaupun di Jepun sudah wujud versi facelift (MC), Serena C28 yang bakal memasuki pasaran Malaysia ini masih dikira model baharu untuk pasaran tempatan. Jika mahu menunggu versi facelift, pengguna perlu menanti lebih lama dan perubahan yang dibawa bukanlah besar.
e-POWER: Rasa EV, tetapi tidak perlu pengecas
Keunikan e-POWER ialah roda dipacu sepenuhnya oleh motor elektrik, manakala enjin petrol tidak memacu roda secara terus.
Enjin hanya berfungsi sebagai generator untuk menjana tenaga elektrik, sekali gus membolehkan pemanduan terasa seperti kenderaan elektrik (EV), tetapi tanpa kebimbangan jarak pemanduan kerana tidak bergantung kepada pengecas luaran.
Untuk Serena C28, Nissan menekankan penggunaan e-POWER generasi kedua yang lebih halus dan matang, dengan penambahbaikan pada respons, kelancaran serta NVH (Noise, Vibration, Harshness) ketika pemanduan.
Output motor elektrik: 163 PS dan 315 Nm
Bagi Serena C28 e-POWER, output motor elektrik (traction motor) yang memacu roda dinyatakan sekitar 163 PS (161 hp) dengan tork 315 Nm.
Ini menjelaskan mengapa karakter pemanduan Serena C28 terasa lebih bertenaga dan responsif, kerana tork motor elektrik disalurkan secara segera.

Enjin generator: 1.4 liter 3-silinder (Direct Injection)
Berdasarkan paparan spesifikasi varian Premium Highway Star, enjin generator menggunakan unit HR14DDe 1.4 liter 3-silinder DOHC dengan suntikan terus. Dalam konfigurasi ini, enjin menghasilkan 72 kW (98 PS) pada 5,600 rpm dan tork 123 Nm pada 5,600 rpm.
Perlu dijelaskan, enjin 1.4 liter ini bertindak sebagai generator, bukannya enjin yang memacu roda.
Tiga mod pemanduan dan e-Pedal Step
Serena C28 e-POWER menawarkan tiga mod pemanduan iaitu Eco, Standard dan Sport. Ciri e-Pedal Step turut disertakan bagi membolehkan pemandu mengawal pecutan dan nyahpecutan dengan lebih banyak menggunakan satu pedal, sambil regen membantu memperlahankan kenderaan.
Ia boleh diaktifkan atau dimatikan mengikut keselesaan pemandu.
Fokus kestabilan dan pengurangan motion sickness
Antara fokus pembangunan Serena C28 ialah meningkatkan kestabilan dan keselesaan kabin, termasuk aspek yang dikaitkan dengan motion sickness.
Nissan turut menyenaraikan beberapa penambahbaikan seperti peningkatan ketegaran stabilizer, ketegaran anggota suspensi, serta penambahbaikan pada sistem stereng bagi mengurangkan ‘steering correction’ dan meningkatkan kestabilan ketika pemanduan lurus, khususnya di lebuh raya.

Reka bentuk, kabin dan praktikaliti
Dari segi luaran, Serena C28 membawa identiti V-Motion, lampu utama 3-eye projector LED, air curtain untuk aerodinamik serta lampu belakang ‘boomerang’. Ia turut menawarkan pintu gelangsar kuasa berkembar dengan fungsi hands-free.
Dalam kabin, ciri yang ditekankan termasuk dua skrin 12.3 inci, pemilih gear elektronik, pengecas tanpa wayar, Electronic Parking Brake dengan autohold, serta pendingin hawa dengan panel sentuh.
Untuk keselesaan keluarga, Serena C28 menonjolkan fleksibiliti sehingga 13 konfigurasi tempat duduk, selain kemudahan walk-through serta akses baris ketiga yang lebih mudah.
Bagi kemudahan harian, turut dipaparkan fungsi seperti Approach Unlock dan Walk Away Lock (auto buka apabila menghampiri dan auto kunci apabila berjalan pergi), serta Speed Sensing Door Lock (auto kunci apabila kenderaan mula bergerak).
Ulasan pandu uji: lebih kuat, lebih stabil, lebih senyap
Berdasarkan sesi pandu uji dari Nissan cawangan Petaling Jaya, Bentong, Janda Baik dan destinasi akhir Kuantan (Hyatt Regency Kuantan), karakter pemanduan Serena C28 e-POWER boleh dirumuskan seperti berikut:
- Jauh lebih berkuasa berbanding model-model Serena sebelum ini yang pernah dipasarkan oleh ETCM (C27, C26, C24 dan C23)
- Kurang body roll ketika memandu
- Lebih stabil pada kelajuan tinggi di lebuh raya
- Penjimatan bahan api yang meyakinkan, dengan jarak pemanduan boleh mencecah sekitar 1,000 kilometer (km) untuk satu tangki penuh
- Kabin lebih senyap
- Pemanduan lebih lancar seperti EV, tanpa kebimbangan jarak pemanduan
Harga dan varian: penentu penerimaan pasaran
Persoalan seterusnya ialah sama ada Serena e-POWER ini mampu diterima pasaran dan kembali menjadi antara peneraju dalam segmen MPV bukan nasional kelas C.
Namun, realitinya penerimaan itu banyak bergantung kepada strategi harga yang bakal diumumkan Nissan Malaysia.
Wakil Nissan Malaysia memaklumkan harga berkemungkinan bermula sekitar RM 160,000.00 hingga RM 180,000.00.
Ketika pelancaran nanti, dua varian C28 dijangka diperkenalkan untuk pasaran Malaysia iaitu varian X dan Premium Highway Star.
Bagi varian IMPUL pula, ia berkemungkinan diperkenalkan kemudian, selari dengan amalan biasa Nissan Malaysia yang lazim membawa versi aksesori tersebut pada fasa seterusnya. – UTUSAN










