SHAH ALAM: Motosikal nasional kedua keluaran Afaz, Kencana Sport bakal dieksport tahun depan dengan ASEAN menjadi pasaran permulaan diikuti negara-negara Afrika.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan KMSB Motors Sdn. Bhd., Ahmad Faez Yahaya berkata, pihaknya sedang berbincang dengan Thailand bagi memenuhi syarat-syarat ditetapkan oleh negara tersebut bagi semua jenis motosikal yang mahu dibawa masuk.
Menurutnya, Thailand baru memperkenalkan peraturan-peraturan baharu untuk semua jenis motosikal seperti mewajibkan adanya sistem brek antikunci (ABS) atau sistem brek bersama (CBS).
“Jadi, Kencana Sport tiada sistem brek sebegini tapi kita sedang bangunkan CBS untuk model ini bagi pasaran Thailand.
“Insya-Allah, dalam suku pertama 2027 kita akan eksport Kencana Sport,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas taklimat tertutup bersama media mengenai hala tuju Afaz dan Kencana Sport di Glenmarie, di sini semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini menerima secara rasmi Kencana Sport, iaitu motosikal yang dikeluarkan hasil kerjasama strategik industri tempatan dan antarabangsa berteraskan dasar Pembuatan Automotif 2 (AM-2).
Kencana Sport merupakan motosikal jenis underbone dengan enjin moden Euro 4 keluaran Suzuki yang cekap bahan api dan mesra alam.
Ia menyasarkan golongan pengguna berpendapatan rendah dan pasaran massa.
Ditanya mengenai maklum balas pasaran mengenai Kencana Sport, Ahmad Faez memberitahu, setakat ini penerimaan untuk pengeluaran pertama sebanyak 500 unit daripada pengguna terus dan pengedar adalah baik.
Bagaimanapun jelas beliau, pihaknya mempunyai kekangan dari aspek jumlah pengeluaran bagi memenuhi permintaan pasaran.
“Enjin datang daripada Suzuki. Enjin yang sama juga digunakan di banyak negara. Jadi, kita kena tunggu giliran.
“Enjin saja daripada Suzuki, komponen-komponen lain adalah keluaran tempatan,” jelasnya. – UTUSAN










