PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang lebih kukuh pada suku keempat 2025 apabila merekodkan pertumbuhan 5.7 peratus, disokong prestasi memberangsangkan sektor utama ekonomi serta pengukuhan berterusan permintaan domestik.
Kadar pertumbuhan itu lebih tinggi berbanding 5.2 peratus pada suku ketiga 2025 dan merupakan yang tertinggi sejak suku kedua 2024.
Bagi keseluruhan tahun 2025, ekonomi negara dianggarkan berkembang 4.9 peratus, hampir menyamai pertumbuhan 5.1 peratus yang dicatatkan pada 2024.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan kukuh pada suku keempat 2025 dipacu terutamanya oleh sektor perkhidmatan yang berkembang 5.4 peratus berbanding 5.0 peratus pada suku sebelumnya.
“Prestasi sektor perkhidmatan disokong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan, serta makanan dan minuman serta penginapan.
“Sektor pembuatan turut mencatat pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 6.0 peratus berbanding 4.1 peratus pada suku ketiga 2025, dipacu oleh produk elektrik, elektronik dan optikal selain minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan serta makanan diproses.
“Sektor pembinaan pula kekal mencatat pertumbuhan dua angka pada 11.9 peratus, disokong aktiviti kukuh dalam bangunan bukan kediaman dan aktiviti pembinaan pertukangan khas,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sektor pertanian turut mencatat peningkatan ketara kepada 5.1 peratus berbanding pertumbuhan marginal 0.4 peratus pada suku sebelumnya, didorong pengeluaran kelapa sawit yang lebih tinggi.
“Malaysia mencatatkan pengeluaran minyak sawit tertinggi dalam tempoh 10 tahun pada Oktober 2025.
“Sebaliknya, sektor perlombongan dan pengkuarian mencatatkan pertumbuhan lebih sederhana sebanyak 1.1 peratus susulan pengeluaran minyak mentah dan kondensat yang lebih perlahan,” katanya.
Tambahnya, pengukuhan permintaan domestik turut menyokong pertumbuhan ekonomi pada suku keempat 2025, didorong perkembangan aktiviti pelancongan sempena cuti umum dan cuti persekolahan, peningkatan perbelanjaan barangan berkaitan persekolahan susulan perubahan kalendar akademik 2026 serta perbelanjaan perayaan Deepavali dan Krismas.
“Keadaan pasaran buruh yang stabil dan aktiviti pelaburan yang berterusan telah mengukuhkan perbelanjaan isi rumah, walaupun berdepan persekitaran luaran yang tidak menentu.
“Peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun lalu menyaksikan ratusan mesyuarat, persidangan dan aktiviti antarabangsa berskala besar berlangsung di bandar utama negara, selain pilihan raya negeri Sabah, yang secara langsung merancakkan aktiviti ekonomi,” tambahnya
Dari segi indikator ekonomi, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) mencatat pertumbuhan kukuh pada Oktober (6.0 peratus) dan November (4.3 peratus), mencerminkan pengukuhan aktiviti perindustrian khususnya sektor pembuatan yang dipacu industri berorientasikan eksport.
Sektor perdagangan borong dan runcit pula mencatat pertumbuhan jualan masing-masing 7.2 peratus pada Oktober dan 6.4 peratus pada November, menandakan daya tahan permintaan domestik walaupun berdepan tekanan kos sara hidup.
Aktiviti pembayaran digital terus mengukuh apabila transaksi e-wang meningkat 66.9 peratus kepada RM27.0 bilion pada November, manakala transaksi melalui platform pembayaran runcit masa nyata (RPP) mencecah RM322.6 bilion.
Dari segi perdagangan luar, eksport berkembang 15.7 peratus pada Oktober sebelum menyederhana kepada 7.0 peratus pada November, manakala import meningkat kepada 15.8 peratus pada November dengan jumlah dagangan negara kekal mencatat pertumbuhan dua digit.
Secara keseluruhan, semua sektor ekonomi mencatat pertumbuhan positif pada 2025, dengan sektor perkhidmatan berkembang 5.1 peratus, pembuatan 4.5 peratus dan pembinaan mengekalkan pertumbuhan dua angka pada 12.4 peratus. – UTUSAN










