PETALING JAYA: Bursa Malaysia terus melonjak melepasi ambang 1,700 pada Selasa, didorong oleh makroekonomi negara yang positif dan ekosistem yang kondusif bagi prospek keuntungan syarikat yang disenaraikan.
FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 12.76 mata kepada 1,708.20 pada pukul 5 petang semalam, berbanding 1,695.44 pada penutup Isnin.
Indeks penanda aras dibuka tinggi pada 1,700.74.
Paras tersebut adalah tertinggi dalam tempoh lebih lima tahun.
Jumlah dagangan sebanyak 3.45 bilion unit bernilai RM3.56 bilion.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 556 berbanding 548 dengan 559 kaunter tidak berubah dan 975 tidak diniagakan.
Penanda aras tertinggi yang dicatatkan Bursa Malaysia adalah 1,896.23 pada Julai 2014, sebelum harga minyak jatuh.
Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, pengukuhan ini didorong oleh beberapa faktor utama, terutamanya prestasi saham-saham perbankan yang menunjukkan peningkatan ketara, selain disokong oleh pergerakan kadar pertukaran asing yang lebih menggalakkan.
Katanya, kedua-dua faktor ini penting dalam menentukan asas dan hala tuju pasaran pada masa hadapan.
“Dalam tempoh seminggu terdekat, pasaran berpotensi meningkat sehingga 1,730 mata menjelang hujung minggu. Namun, sekiranya pasaran bergerak secara mendatar, julat boleh bergerak sekitar 1,660 hingga 1,690 mata.
“Untuk tempoh sebulan, pasaran dijangka mampu meningkat ke paras 1,740 hingga 1,780 mata, bergantung terutamanya kepada prestasi sektor perbankan dan kestabilan kadar pertukaran asing,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, Philip Capital meletakkan sasaran 1,710 mata menjelang hujung tahun dan paras semasa pasaran kini hampir mencapai matlamat tersebut.
Tambahnya, sekiranya Bursa Malaysia terus kukuh dan ringgit berada pada paras yang baik, indeks berpotensi mencecah sehingga 1,800 mata, yang boleh dianggap sebagai kemuncak pasaran saham.
“Selepas itu, pelabur perlu lebih berhati-hati kerana pasaran mungkin menjadi lebih mencabar.
“Kenaikan harga minyak juga merupakan faktor positif kerana ia akan meningkatkan hasil eksport negara, memperbaiki imbangan perdagangan serta menyokong pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Perkembangan ini seterusnya boleh diterjemahkan kepada peningkatan prestasi Bursa Malaysia.
“Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa analisis ini bersifat jangka pendek. Untuk jangka sederhana dan panjang, hala tuju pasaran akan turut bergantung kepada perkembangan ekonomi dan geopolitik global,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, situasi makroekonomi di Malaysia umumnya adalah positif rata-rata penganalisis anggaran awal KDNK suku keempat 2025 yang akan diumumkan pada 16 Januari berada di paras 5.4 peratus.
“Sekiranya angka ini dicapai, pertumbuhan ekonomi bagi keseluruhan tahun 2025 dilihat bergerak sekitar 4.9 peratus, melebihi unjuran kerajaan iaitu antara 4.0 peratus hingga 4.8 peratus.
“Justeru, kedudukan ekonomi yang baik akan mewujudkan suatu ekosistem yang kondusif bagi prospek keuntungan syarikat yang disenaraikan.
“Sektor-sektor seperti institusi perbankan, perladangan, pembinaan, teknologi dan utiliti akan menjadi peneraju kepada kenaikan harga-harga saham yang disenaraikan,” jelasnya.
Selain itu, beliau berkata, kemasukan dana asing sepanjang dua hari ini juga membantu dalam menyokong harga-harga saham tempatan.
“Prospek bagi kenaikan harga saham tempatan sememangnya ada. Penilaian harga-harga saham di Malaysia masih lagi menarik dengan nisbah harga kepada pendapatan (PE) berlegar sekitar 16 kali berbanding purata jangka panjang 17 kali,” ujarnya. – UTUSAN









