PETALING JAYA: Bioeconomy Corporation menyasarkan untuk menjana hasil sekurang-kurangnya RM2.2 bilion pada tahun ini menerusi syarikat berstatus BioNexus dan Program Bio-based Accelerator (BBA).
Sasaran itu dibuat selepas agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkenaan mencatatkan sumbangan luar biasa berjumlah RM39.9 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sepanjang 20 tahun penubuhannya.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, Bioeconomy Corporation telah memudah cara pelaburan diluluskan melebihi RM14.6 bilion menerusi dua program utamanya iaitu Status BioNexus dan BBA sepanjang 20 tahun ini.
Menurut beliau, usaha berkenaan bukan sahaja merancakkan ekonomi malah menjana lebih 16,600 peluang pekerjaan di seluruh negara serta menyokong pertumbuhan hampir 650 syarikat di bawah seliaannya.
“Pencapaian ini mencerminkan keyakinan berterusan kerajaan terhadap keupayaan agensi ini untuk menerajui bioekonomi Malaysia ke arah daya saing global.
“Pada 2025 sahaja, nilai pelaburan dan komersial melonjak kepada RM2.44 bilion berbanding RM1.55 bilion pada tahun sebelumnya, iaitu mewakili pertumbuhan hampir 60 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Lih Kang berkata, Bioeconomy Corporation kini memfokuskan strategi lima tahun akan datang kepada enam subsektor bernilai tinggi yang mempunyai potensi pertumbuhan pesat.
“Subsektor tersebut merangkumi protein generasi baharu, pembiakan regeneratif, bahan lestari, bahan kimia berasaskan bio, perubatan regeneratif serta diagnostik ketepatan.
“Hala tuju strategik ini dirangka bagi menyokong Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030) dengan memberi tumpuan kepada sumbangan terhadap pertumbuhan ekonomi biru, hijau dan perak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata, bagi mencapai sasaran tahun ini, pihaknya akan meneroka penerapan penyelesaian digital dan kecerdasan buatan (AI) selari dengan aspirasi Kerajaan Madani.
“Penumpuan AI merentas sektor pertanian, penjagaan kesihatan dan bioekonomi industri akan memperkukuh keselamatan makanan memacu inovasi penjagaan kesihatan, menyokong ekonomi kitaran serta membuka peluang ekonomi baharu,” katanya.
Sejak 2005, Bioeconomy Corporation telah membantu mengembangkan syarikat tempatan ke peringkat global melalui sokongan menyeluruh merangkumi promosi pelaburan, pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), bakat, akses pasaran serta sokongan pembiayaan.
Inisiatif ini sejajar dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030, menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi negara berteknologi tinggi dan dipacu inovasi menjelang 2030. – UTUSAN










