PETALING JAYA: Bank Muamalat Malaysia Berhad melancarkan Kempen Save2Win 2026 yang menawarkan hadiah utama berupa dua jongkong emas seberat satu kilogram (kg) setiap satu bertujuan untuk menyuburkan budaya menabung dalam kalangan rakyat Malaysia.
Pelancaran kempen baharu itu diumumkan serentak dengan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Kempen Save2Win 2025 yang menyaksikan penyertaan memberangsangkan daripada lebih 75,000 penyimpan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Khairul Kamarudin berkata, kesinambungan kempen ini adalah manifestasi komitmen bank dalam menggalakkan pengurusan kewangan berdisiplin menerusi pendekatan ganjaran yang menarik.
Beliau berkata, bagi edisi 2026 yang akan berlangsung bermula 1 Februari hingga 31 Disember itu, pihak bank memperuntukkan hadiah keseluruhan bernilai hampir RM3 juta yang bakal dimenangi oleh 5,638 pemenang bertuah.
“Save2Win 2025 bukan sekadar kempen ganjaran, tetapi satu inisiatif strategik untuk membudayakan amalan menabung secara konsisten dan berhemah.
“Kami mahu pelanggan melihat simpanan sebagai asas kestabilan kewangan jangka panjang, bukan hanya keperluan jangka pendek,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Bank Muamalat mengumumkan dua pemenang bertuah bagi Kempen Save2Win 2025 yang membawa pulang hadiah utama berupa sebuah kondominium mewah setiap seorang.
Pemenang tersebut ialah Kamruzaman Mat Sham dari cawangan Kuantan dan Rosmala Zainal dari cawangan Jalan Melaka, yang terpilih menerusi acara cabutan secara langsung semalam.
Menurut Khairul, kejayaan kempen tahun lalu yang menawarkan hadiah keseluruhan melebihi RM3.5 juta mencerminkan tahap kepercayaan pelanggan yang kukuh terhadap produk simpanan patuh Syariah yang ditawarkan oleh institusi kewangan tersebut.
Katanya, inisiatif ini selari dengan aspirasi Bank Muamalat untuk menjadi rakan kewangan dipercayai serta mendokong nilai teras ‘Kehidupan Lebih Baik, Bersama’.
“Melalui pendekatan yang inklusif dan berterusan, kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pengurusan kewangan yang berdisiplin, sekali gus membantu pelanggan membina daya tahan kewangan bagi menghadapi keperluan jangka panjang dan ketidaktentuan ekonomi masa hadapan,” katanya.
Kempen Save2Win 2026 terbuka kepada semua pelanggan baharu dan sedia ada Bank Muamalat. Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari laman web rasmi www.muamalat.com.my atau berkunjung ke cawangan terdekat.-UTUSAN










