KUALA LUMPUR: Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 dijangka menjadi pemangkin penting kepada landskap ekonomi negara, membuka ruang pertumbuhan yang lebih luas di sebalik kempen pelancongan berskala nasional itu.
Pengarah Kanan, Bahagian Perancangan Strategik, Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia, Salinda Sany berkata,ia bukan sekadar menawarkan pengalaman unik kepada pelancong, inisiatif ini turut membawa limpahan ekonomi merentas sektor, daripada perhotelan dan penerbangan, hinggalah perusahaan kecil, peruncitan dan industri kreatif.
“Dengan rekod ketibaan pelawat asing yang meningkat, Malaysia dijangka terus mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi pelancongan utama serantau dan global,” katanya dalam pembentangan Persidangan Bursa Malaysia-Hong Leong Investment Bank Stratum Focus XX di Bursa Malaysia hari ini.
Menerusi momentum ini, TMM 2026 disasarkan menarik 47 juta pelawat dengan hasil pelancongan sehingga RM329 bilion.
“Kerajaan menyokong kempen ini dengan peruntukan lebih RM500 juta dan insentif cukai, selain menumpukan kepada promosi global, kerjasama strategik dengan syarikat penerbangan, serta penawaran pelancongan niche seperti ekopelancongan, perubatan dan kesihatan, pengalaman mesra muslim dan segmen mewah,” katanya.
Berdasarkan data Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia, Malaysia mencatatkan 28.2 Juta pelancong asing Januari hingga Ogos 2025 menunjukkan pemulihan kukuh sektor pelancongan negara.
Prestasi ini dipacu oleh permintaan tinggi daripada pelancong domestik dan antarabangsa, sekali gus menegaskan peranan pelancongan sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Berdasarkan rekod, kempen TMM sebelum ini terbukti berkesan meningkatkan jumlah ketibaan pelancong.
Sebagai contoh, TMM 1990 mencatat lonjakan 55 peratus kepada 7.1 juta pelancong, manakala TMM 2007 menarik hampir 21 juta pelawat, meningkat hampir 20 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pada program itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) bersama Bursa Malaysia menganjurkan siri forum ke-20 Bursa Malaysia–HLIB Stratum Focus Series bertemakan Pelancongan: Tahun Melawat Malaysia 2026: mencapai puncak baharu.
Forum tersebut menghimpunkan pakar industri termasuk Pengarah Kanan, Bahagian Perancangan Strategik, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Salinda Sany,
Pengarah Bersama Strategi, Ekonomi dan Polisi, Frost & Sullivan Malaysia; Chia Yi Han serta Pengarah Agoda International, Fabian Teja Boegershausen
Naib Presiden Kanan dan Ketua Jualan Institusi Hong Leong Investment Bank, Wan Kharuddin Ungku Md Khalid, menekankan kepentingan kitaran pelancongan yang akan datang.
“TMM 2026 berlaku pada ketika perjalanan serantau kembali normal dan keyakinan pengguna meningkat. Ini mencipta kesan pengganda yang kukuh kepada industri penerbangan, hospitaliti, runcit, F&B dan perkhidmatan.
“Bagi syarikat Malaysia, kitaran naik pelancongan bukan sekadar cerita permintaan. Ia peluang untuk berkembang, membezakan diri dan membina daya saing jangka panjang,” katanya. – UTUSAN










