Sunway Square Mall dibuka secara rasmi, 95 peratus kedai mula beroperasi - Utusan Malaysia

Sunway Square Mall dibuka secara rasmi, 95 peratus kedai mula beroperasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sunway Square Mall dibuka secara rasmi dengan 95 peratus kedai telah mula beroperasi, menandakan kelahiran sebuah hab komuniti empat tingkat seluas 320,000 kaki persegi yang mesra haiwan peliharaan, terletak di tengah-tengah Sunway City Kuala Lumpur.

Sebagai komponen utama dalam pembangunan bersepadu Sunway Square, pusat beli-belah itu menyediakan ruang yang menyatukan gaya hidup dan rekreasi, direka khusus untuk memenuhi pelbagai keperluan komuniti setempat.

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls, HC Chan berkata, pusat beli-belah itu merupakan sebahagian daripada Sunway Square, sebuah pembangunan berwawasan direka untuk mengintegrasikan pelbagai ruang bagi memenuhi keperluan seni, perdagangan, pendidikan dan perniagaan.

“Pusat beli-belah ini menghimpunkan lebih 130 kedai, yang terdiri daripada pelbagai jenama tersohor bagi memenuhi keperluan pengunjung.

“Pengunjung boleh mendapatkan produk segar dan keperluan harian di Village Grocer, memupuk bakat seni kanak-kanak di Tutu Toe Dance Academy, mencuba aktiviti panjat batu di BUMP Bouldering atau mencari barangan gaya hidup unik di KKV.

“Sementara itu, Library by BookXcess yang beroperasi 24 jam bersama Kenny Hills Bakers menawarkan ruang pembelajaran dan pertemuan sosial yang ideal, khususnya buat pelajar Sunway University dan komuniti sekitar,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Sunway Square Mall juga merupakan rumah kepada Squarrel maskot ceria hasil rekaan artis komik tempatan, Ernest Ng, yang terkenal dengan siri ‘Bro, Don’t Like That La, Bro.

“Berbentuk empat segi, lembut dan comel, Squarrel melambangkan semangat positif dan rasa ingin tahu, sambil membawa keceriaan yang mudah ‘berjangkit”.

“Sunway Square Mall turut menyerlahkan kreativiti melalui reka bentuk dalaman yang diinspirasikan oleh semangat seni Pusat Seni Persembahan Jeffrey Cheah yang bakal dibuka pada 2026.

“Antara ciri ikoniknya ialah tangga gaya Sepanyol dan struktur gerbang keluli di Aras Satu elemen yang membangkitkan emosi dan mencetuskan inspirasi dan pastinya mesra Instagram.

“Pengunjung juga dapat menikmati enam arca hasil karya artis residen Sunway, Infantino Fernandes, iaitu Brass, Bass, Strings, Poise, Grace dan Masque, yang dipamerkan di seluruh pusat beli-belah ini,” ujarnya.

Sunway Square turut menempatkan kampus baharu Sunway University merangkumi Sekolah Perniagaan Sunway serta Fakulti Seni dan Sains Sosial.

Lokasi strategiknya dalam ‘bandar 15 minit’ Sunway City Kuala Lumpur menawarkan akses mudah melalui Canoру Walk serta sistem Bus Rapid Transit (BRT).

Dalam pada itu, pelbagai acara dan ganjaran hebat ditawarkan sempena pembukaan pusat beli belah itu

Sehingga 22 Februari 2026, pengunjung berpeluang memenangi hadiah menarik termasuk Apple iPad 11 inci, Sony PS5, Nintendo Switch 2, Xiaomi A Pro 43, Xiaomi lonic Hair Dryer H300 dan banyak lagi.

Dengan setiap perbelanjaan RM150 (RM100 untuk pemegang kad UOB) dalam maksimum tiga resit, pengunjung layak menerima satu penyertaan cabutan bertuah, parkir percuma, serta menebus Squarrel Blindbox edisi terhad.

Terdapat juga promosi pembukaan selama empat hari, yang merangkumi kopi, teh susu, bagel, yogurt, sushi dan banyak lagi semuanya percuma.

Selain itu, pengunjung boleh mendapatkan rantai kunci Squarrel edisi terhad, beg kertas gergasi dan baucar makanan sehingga 12 Disember dengan muat turun Sunway Super App untuk menebus tawaran dan tunjukkan baucar di kaunter penebusan yang terletak di Main Concourse.

Sebagai tanda penghargaan, pengunjung boleh menikmati parkir percuma dari 11 hingga 14 Disember bagi memudahkan mereka menghadiri sambutan pembukaan dan meneroka hab baharu ini.

Mulai 15 Disember 2025 hingga 22 Februari 2026, perbelanjaan minimum RM30 melayakkan pengunjung menikmati parkir percuma.

Sementara itu, perbelanjaan RM150 ke atas (atau RM100 bagi pemegang kad UOB) melayakkan pengunjung menerima parkir percuma berserta satu Squarrel Blindbox. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN