Langkah kolektif elak krisis serantau

Langkah kolektif elak krisis serantau

PENDUDUK Thailand yang dipindahkan berkumpul di pusat perlindungan sementara susulan pertempuran di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja di wilayah Buriram. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketegangan berpanjangan di sempadan Thailand dan Kemboja yang semakin meruncing menuntut ASEAN menilai semula langkah segera termasuk pengaktifan mekanisme ASEAN Troika bagi memastikan kestabilan serantau tidak terjejas.

Penganalisis Perhubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Bakri Mat berkata, penyelesaian konflik itu memerlukan pendekatan kolektif ASEAN namun perlu berhati-hati agar tidak melanggar prinsip tidak campur tangan yang dipersetujui negara anggota.

Menurutnya, ASEAN mempunyai tanggungjawab moral kerana konflik yang berpanjangan berpotensi menggugat keselamatan, ekonomi serta imej rantau yang dikenali sebagai zon aman dan stabil sejak sekian lama.

“Usaha perdamaian tidak wajar dipikul satu negara sahaja kerana kestabilan Thailand dan Kemboja memberi kesan langsung terhadap kredibiliti organisasi serantau sebagai blok aman neutral.

“ASEAN perlu pertimbangkan pengaktifan mekanisme ASEAN Troika bagi memastikan tindakan segera diambil secara terancang sekali gus mengelakkan konflik berkembang kepada krisis serantau lebih besar dan membimbangkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, pemimpin Kem­boja dan Thailand mengambil sikap terbuka dan bersedia un­tuk terus berunding bagi me­redakan ketegangan yang se­dang meletus di sempadan ke­­dua-dua negara ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah menghubungi rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet dan Thailand, Anutin Charnvirakul bagi membincangkan pergolakan antara ke­dua-dua negara berjiran.

Sementara itu, pakar Hubu­ngan Antarabangsa Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya, Dr. C. Suseela Devi, menjelaskan tempoh konflik Thailand dan Kemboja sukar dijangka kerana krisis berpotensi berlarutan selagi tiada pihak ketiga tampil menggerakkan inisiatif baharu serta persetujuan bersama belum dicapai.

“Ancaman tetap terkawal ke­rana konflik berlaku di pedalaman namun saya ingin menasihatkan warga Malaysia yang ingin bercuti ke negara tersebut untuk mengelak kawasan berhampiran lokasi pertikaian sempadan tersebut,” katanya.

Selain itu, pakar Politik Antarabangsa UUM, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman pula berkata, rantau ini bakal menerima kesan besar sekiranya konflik tidak dibendung sehingga mencetuskan peperangan lebih serius melibatkan kedua-dua negara.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk Setiausaha Agungnya mungkin perlu memainkan peranan sekiranya mediator sedia ada gagal mempengaruhi Thailand dan Kemboja kembali ke meja damai demi keselamatan serta masa depan rantau Asia Tenggara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN