PETALING JAYA: SME Corp. memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Swansea, United Kingdom (UK) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan dan pengantarabangsaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia.
MoU tersebut merangkumi kerjasama dalam bidang pembangunan keusahawanan, penyelidikan dan perkongsian ilmu, program mobiliti dan immersion, inisiatif akses pasaran, inovasi serta pemindahan teknologi, selain kajian dasar berkaitan ekosistem PKS.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rizal Nainy berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen pihaknya untuk membina hubungan yang tersusun dan strategik dalam meningkatkan daya saing PKS tempatan di peringkat global.
“MoU ini membolehkan SME Corp. memperluas kerjasama dalam pembangunan keusahawanan, perkongsian ilmu, program mobiliti serta inisiatif akses pasaran bagi meningkatkan tahap kesediaan pengantarabangsaan PKS,” katanya dalam kenyataan.
MoU berkenaan ditandatangani oleh Rizal dan Pro Naib Canselor Universiti Swansea, Ryan Murphy diadakan di Universiti Swansea pada 16 Disember lalu, dengan universiti itu diwakili oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Antarabangsa), Fakulti Sains Kemanusiaan dan Sains Sosial, Dr. Fiona Jordan.
Dalam perkembangan berkaitan, syarikat berkenaan bersama Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) turut menganjurkan Program Soft Landing (SLP) dengan kerjasama universiti itu.
Program yang berlangsung pada 10 hingga 18 Disember itu bertujuan untuk mempersiapkan pengusaha PKS yang berpotensi tinggi dalam ekosistem francais menembusi pasaran antarabangsa.
Program berkenaan turut memberi pendedahan kepada amalan perniagaan antarabangsa termasuk penglibatan dengan pembuat keputusan utama, pemahaman rantaian bekalan global serta pengoperasian di platform perdagangan antarabangsa dan ekosistem sokongan berkaitan.
SME Corp. kekal komited menyokong pertumbuhan serta peluasan perniagaan PKS Malaysia ke peringkat global melalui kerjasama strategik dan program pendedahan antarabangsa yang bersasar, selaras dengan agenda nasional membangunkan perusahaan yang berdaya tahan dan berdaya saing di pasaran antarabangsa. – UTUSAN










