Penalti minit akhir bantu Selangor tumpaskan Negeri Sembilan

Penalti minit akhir bantu Selangor tumpaskan Negeri Sembilan

AKSI perlawanan pertama suku akhir Piala Malaysia di antara Negeri Sembilan FC dan Selangor FC.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Gol tunggal melalui sepakan penalti pada minit terakhir cukup membawa kemenangan kepada Selangor FC dalam aksi pertama suku akhir Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) malam tadi.

Berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini Selangor FC mengatur rangkaian serangan melalui gandingan Mohamad Faisal Halim, Alvin Mateus Fortes dan Chrigor Flores Moraes.

Selangor FC hampir mendahului pada minit ke-5, namun sepakan leret Fortes terus ke dakapan penjaga gol tuan rumah, Muhammad Azri Abdul Ghani.

Muhammad Azri sekali lagi menjadi penyelamat dua minit selepas itu apabila sepakan Moraes ke arah gawang terkena kakinya.

Berdepan sorakan hampir 10,000 penyokong sendiri, NSFC seakan-akan hilang penguasaan di bahagian tengah hingga bola gagal menembus masuk ke kotak penalti lawan.

Selangor FC mendapat peluang terbaik pada minit ke-43 apabila larian Moraes berjaya melepasi pertahanan tuan rumah, namun lorongan bola pemain itu ke arah gol terkena kaki Muhammad Azri dan bola terkeluar dari padang.

Lima minit selepas separuh masa kedua bermula, Selangor FC sekali terlepas peluang jaringan gol apabila tandukan pemain pertahanan pelawat, Richmond Tetteh yang berpunca sepakan sudut terkena palang gol NSFC.

Pada minit ke-76, Selangor FC menjaringkan gol melalui Fortes namun dibatalkan selepas pemeriksaan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati bola telah terkena tangan pemain itu terlebih dulu.

Selangor FC akhirnya lega apabila pemeriksaan VAR pada minit terakhir perlawanan telah menghadiahkan pasukan itu dengan sepakan penalti selepas Moraes dijatuhkan dalam kotak penalti tuan rumah.

Moraes kemudian menjaringkan gol tersebut bagi membawa bekalan satu gol buat Selangor ke Pealing Jaya minggu hadapan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN