HULU LANGAT: Individu yang mempunyai rekod penyakit sedia ada layak mendapatkan perlindungan di bawah Pelan Insurans dan Takaful Perubatan serta Kesihatan (MHIT) Asas sekiranya keadaan kesihatan mereka stabil dan terkawal.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, akses perlindungan dibuka kepada pesakit sedia ada selagi tidak berada dalam keadaan kecemasan perubatan berdasarkan Kertas Putih MHIT Asas.
Menurut beliau, MHIT Asas menggunakan pendekatan penjaminan yang lebih seragam termasuk polisi no look back (tidak lihat ke belakang) yang tidak memerlukan semakan rekod kesihatan lampau.
“Bagi individu yang memerlukan perlindungan lebih menyeluruh, mereka boleh memilih pelan tambahan Standard Plus manakala MHIT Asas dijangka ditawarkan pada kadar sekitar RM80 sebulan.
“Melalui pendekatan ini, pelan MHIT Asas dijangka meliputi lebih 90 peratus tuntutan perubatan lazim khususnya rawatan dengan kos di bawah RM100,000 yang tidak memerlukan prosedur kompleks seperti pembedahan jantung,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian dan Hari Terbuka Wellness Hub Hulu Langat di Bandar Seri Putra di sini semalam.
Menurut Dzulkefly, pelaksanaan MHIT Asas bukan menandakan peralihan kepada penswastaan sistem kesihatan, sebaliknya mengekalkan komitmen kerajaan terhadap Liputan Kesihatan Sejagat (UHC).
“Kadar bayaran di fasiliti kesihatan awam seperti RM1 untuk rawatan doktor dan RM5 bagi rawatan pakar pesakit luar akan terus dikekalkan, manakala peranan sektor swasta dilihat sebagai pelengkap bagi mengurangkan beban hospital kerajaan.
“Kita juga dalam proses menambah baik inisiatif pelan MHIT Asas supaya lebih matang dan mampu menarik minat khususnya golongan berpendapatan sederhana apabila dilancarkan kelak,” katanya.
Sementara itu, Dzulkefly berkata, kos rawatan penyakit tidak berjangkit (NCD) kini mencecah RM64.3 bilion setahun melebihi keseluruhan belanjawan Kementerian Kesihatan sebanyak RM46.52 bilion.
Beliau berkata, situasi tersebut merupakan satu isyarat jelas bahawa Malaysia tidak lagi boleh bergantung kepada pendekatan rawatan penyakit.
Katanya, negara perlu mengubah fokus daripada strategi rawatan kepada strategi pencegahan serta pemerkasaan rakyat melalui reformasi sistem kesihatan.
“Kerajaan mahu merakyatkan kesihatan dengan memperluas agar rakyat celik kesihatan.
“Pendekatan ini selaras Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan dalam melahirkan masyarakat berupaya buat keputusan bijak demi kesejahteraan diri,” katanya.
Dzulkefly berkata, kesihatan bukan lagi dilihat sebagai isu sektor semata-mata, sebaliknya prasyarat kepada kemakmuran negara dalam kerangka Malaysia Madani.
Dalam pada itu, beliau berkata, penubuhan Wellness Hub Hulu Langat merupakan salah satu bentuk reformasi sistem kesihatan yang berfungsi sebagai platform strategik untuk menangani isu kritikal seperti bantut dan malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak.-UTUSAN
DZULKEFLY Ahmad (tengah) menyertai aktiviti senaman bersempena Hari Terbuka Wellness Hub Hulu Langat di Bandar Seri Putra, Hulu Langat, semalam.










