PETALING JAYA: Sasaran penyampaian satu juta unit rumah mampu milik bermula 2026 hingga 2035 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) mendorong dasar berbilang tahun untuk meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana, kata BIMB Securities Research.
Penganalisis Teknikal dan Ekuitinya, Mohd Fadzerin Arrifin berkata, dasar-dasar ini mewujudkan keterlihatan permintaan yang lebih jelas bagi pemaju serta menggalakkan penyesuaian produk ke arah segmen pasaran massa dan pertengahan.
Katanya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merancang untuk mempercepatkan penyampaian perumahan dalam RMK13 dengan penekanan yang lebih besar kepada pembeli yang lebih muda.
“Ini disokong oleh jaminan RM10 bilion di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan untuk 20,000 peminjam, termasuk mereka yang tidak mempunyai pendapatan formal, pengecualian duti setem penuh untuk rumah di bawah RM500,000.
“Selain itu, ia turut melibatkan pelepasan cukai ke atas faedah sehingga RM7,000 untuk rumah di bawah RM500,000 dan sehingga RM5,000 untuk rumah berharga antara RM500,000 dan RM750,000 untuk perjanjian yang ditandatangani dari 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027.
“Langkah-langkah ini secara langsung menyokong permintaan untuk produk mampu milik dan pertengahan yang lebih rendah yang mendominasi liputan kami,” katanya dalam nota penyelidikan.
Mohd Fadzerin berkata, KPKT mencapai 98.8 peratus daripada sasaran 500,000 unit perumahan mampu miliknya di bawah RMK12 sehingga Ogos lalu.
Beliau berkata, sektor hartanah dan amanah pelaburan hartanah (REIT) Malaysia memasuki 2026 dengan kedudukan yang stabil, keterlihatan pendapatan yang mencukupi dan dasar yang menyokong.
Jelasnya, data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menunjukkan harga yang kukuh dan nilai transaksi yang stabil, manakala kadar yang lebih rendah dan langkah-langkah Belanjawan 2026 membina semula permintaan dalam segmen mampu milik dan pertengahan.
“Pemain industri juga dijangka meraih manfaat daripada Tahun Melawat Malaysia 2026 serta penambahbaikan kepada program Malaysia My Second Home (MM2H), yang berpotensi menyokong permintaan bagi kediaman premium dan pangsapuri servis di pusat bandar utama serta destinasi pelancongan.
“Bagi liputan kami, keterlihatan dasar ini memihak kepada syarikat yang mempunyai pembangunan perbandaran berskala dan jenama perumahan mampu milik sedia ada, khususnya Mah Sing Group Berhad, Lagenda Properties Berhad, Matrix Concepts Holdings Berhad dan Sime Darby Property Berhad,” ujarnya.
Tambahnya, firma penyelidikan mengekalkan penarafan ‘overweight’ ke atas sektor hartanah dan REIT, dengan keutamaan untuk perumahan mampu milik dan nama perindustrian yang menawarkan pertumbuhan yang ketara dan hasil yang menarik. – UTUSAN










