PETALING JAYA: RENN Asia Wellness memperluas capaian pasaran dalam bidang Perubatan Nutrisi dan Fungsian (NFM) menerusi pembukaan sebuah pusat perubatan NFM berfokuskan rawatan diabetes di Guangzhou, China.
Langkah strategik itu direalisasikan menerusi kerjasama antara RENN Asia yang berpangkalan di Kuala Lumpur dan rakan tempatan China, Jian Shi Tang (JST) bagi mengendalikan pusat perubatan berkenaan di Leatop Plaza, daerah Tianhe.
Pusat itu mengadaptasi rangka kerja klinikal NFM yang dibangunkan di Malaysia sebagai model rujukan baharu dalam rawatan diabetes di China.
Pengasas serta Ketua Pegawai Eksekutif RENN Asia, Jonathan Chew berkata, pengenalan rangka kerja NFM yang dibangunkan di Malaysia melengkapi reformasi sistem kesihatan China.
“Walaupun pelbagai inisiatif nasional telah dilaksanakan, jurang masih wujud dalam model pencegahan dan perubatan fungsian, terutamanya pendekatan menggabungkan pemakanan, pengenalpastian punca penyakit, perubatan berasaskan gaya hidup, diagnostik yang diperibadikan dan pemantauan berterusan.
“Dengan itu, inisiatif NFM menawarkan pendekatan berstruktur yang menumpukan kepada punca penyakit, selain daripada menekankan penilaian individu, intervensi nutrisi dan gaya hidup, pengoptimuman serta penstabilan metabolik daripada penyakit kronik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, pakar NFM terkemuka negara, Prof. Datuk Seri Steve Yap berkata, penggunaan rangka kerja NFM tempatan membuktikan keupayaan kepakaran tempatan untuk bersaing di peringkat global.
“RENN Asia turut menempatkan pengamal perubatan tempatan berpengalaman sebagai penasihat sepanjang fasa pelaksanaan awal, selain menyediakan protokol dan reka bentuk program NFM.
“Ini bagi memastikan pusat beroperasi mengikut piawaian menyeluruh yang dibangunkan di Malaysia daripada pengalaman klinikal bertahun-tahun,” katanya.
Yap berkata, matlamat penubuhan itu adalah untuk membantu JST membangunkan sistem yang mampan bagi meningkatkan kesihatan komuniti di Guangzhou dan seterusnya di seluruh China.
Mengulas lanjut, Ketua Pengamal Perubatan JST, Dr. Dai Qi Ming berkata, kerjasama tersebut membuka peluang strategik kepada pihaknya untuk memimpin perubahan dalam pengurusan penyakit kronik di Guangzhou.
“Pendekatan NFM RENN Asia yang menekankan penilaian individu dan rawatan berasaskan punca penyakit sejajar dengan hala tuju penjagaan kesihatan di China.
“Bermula dengan rawatan diabetes, kami mahu meningkatkan kesihatan dan kualiti hidup penerima rawatan,” katanya.
Setakat ini, kedua-dua pihak merancang untuk meluaskan kerjasama tersebut kepada penyakit kronik lain selepas program diabetes itu menunjukkan hasil yang memberangsangkan.-UTUSAN










