PETALING JAYA: Permintaan domestik dijangka terus menjadi tunjang utama pertumbuhan ekonomi negara, disokong oleh kemasukan pelancong yang kukuh, keadaan pasaran buruh yang stabil serta peningkatan sederhana dalam aktiviti perdagangan, menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB).
Menurut bank pelaburan itu, jualan perdagangan pengedaran dijangka berkembang sebanyak 6.1 peratus pada 2026, berbanding anggaran 5.7 peratus pada 2025 dan 5.5 peratus pada 2024.
“Momentum jualan kekal kukuh, dengan purata pertumbuhan 5.3 peratus tahun ke tahun bagi tempoh sepuluh bulan pertama 2025.
“Prestasi ini disokong oleh perbelanjaan musim perayaan, peningkatan ketibaan pelancong serta pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) iaitu bantuan tunai sekali bayar berjumlah RM100,” katanya dalam nota penyelidikan.
Kenanga IB turut menjangkakan pasaran buruh negara kekal stabil pada 2026, disokong oleh kenaikan gaji minimum, penciptaan pekerjaan berterusan dalam sektor perkhidmatan serta pelaksanaan pelaburan yang telah diluluskan.
“Kami mengekalkan unjuran kadar pengangguran pada 3.0 peratus bagi 2026, sejajar dengan keadaan pasaran buruh yang stabil pada 2025 (3.0 peratus) dan 2024 (3.3 peratus),” katanya.
Dari sudut luaran pula, prestasi sektor luar dijangka kekal sederhana pada 2026, dengan pertumbuhan eksport diunjurkan menyederhana kepada 5.1 peratus berbanding anggaran 6.0 peratus pada 2025 (2024: 5.8 peratus).
Kenanga IB memaklumkan, eksport Malaysia berkembang 6.1 peratus dalam tempoh 11 bulan pertama 2025, namun pertumbuhan tersebut terjejas oleh penurunan penghantaran sektor perlombongan, gangguan rantaian bekalan, harga komoditi yang lebih lemah serta pengukuhan nilai ringgit, yang menjejaskan daya saing harga bagi beberapa komoditi eksport.
“Melangkah ke hadapan, tekanan luaran dijangka meningkat pada 2026 apabila kesan tarif Amerika Syarikat mula dirasai sepenuhnya dan pemulihan ekonomi China kekal perlahan, sekali gus memberi tekanan tambahan kepada eksport berkaitan komoditi.
“Fenomena ‘front loading’ ke Amerika Syarikat pada 2025 juga berkemungkinan berakhir pada 2026 apabila pesanan kembali normal,” katanya. – UTUSAN










