PETALING JAYA: Perdagangan negara mencatat peningkatan positif dengan jumlah dagangan sebanyak 11.1 peratus daripada RM237.4 bilion kepada RM263.8 bilion pada November tahun ini.
Pertumbuhan itu disokong oleh permintaan luar yang lebih kukuh, khususnya pertumbuhan eksport 7 peratus kepada RM135 bilion dan peningkatan 15.8 peratus dalam import kepada RM128.9 bilion.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan baik kegiataan eksport negara meningkat sejajar dengan peningkatan eksport semula dan eksport domestik.
“Eksport semula menyumbang 22 peratus daripada jumlah eksport dan meningkat 40.3 peratus tahun ke tahun kepada RM29.8 bilion.
“Pada masa yang sama, import turut meningkat kepada RM128.9 bilion, menunjukkan pertumbuhan sebanyak 15.8 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Walau bagaimanapun, lebihan dagangan menyusut sebanyak 58.8 peratus kepada jumlah RM6.1 bilion berbanding RM14.8 bilion pada selama 67 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.
Menurut Mohd Uzir, terdapat 126 daripada 258 kumpulan eksport dan 113 daripada 259 kumpulan import mengikut pecahan kumpulan barangan turut mencatat peningkatan baik berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.
Katanya, peningkatan eksport terus didorong oleh kenaikan eksport barangan ke Taiwan (RM3.2 bilion), diikuti oleh China (RM1.4 bilion), Hong Kong (RM1.3 bilion), Kesatuan Eropah (RM1.2 bilion), Mexico (RM1.0 bilion), Singapura (RM736.0 juta) dan Viet Nam (RM715.7 juta).
Selain itu, peningkatan import pula disumbangkan terutamanya oleh kemasukan barangan yang lebih tinggi dari China (RM8.7 bilion), diikuti oleh Costa Rica (RM6.6 bilion), Republik Korea (RM3.4 bilion), Emiriah Arab Bersatu (RM1.3 bilion), Taiwan (RM1.3 bilion), Oman (RM1.2 bilion) dan Kesatuan Eropah (RM826.6 juta).
“Kenaikan tersebut sebahagian besarnya disumbangkan oleh penghantaran yang lebih tinggi bagi barangan elektrik dan elektronik (RM7.7 bilion); barangan optik dan saintifik (RM1.6 bilion); bijih logam dan serpihan logam (RM1.3 bilion); barangan perkilangan berasaskan minyak kelapa sawit (RM487.3 juta); barangan perkilangan logam (RM393.1 juta); serta jentera, kelengkapan dan peralatan (RM321.4 juta).
“Selain itu, peningkatan import disumbangkan oleh kemasukan yang lebih tinggi bagi barangan elektrik dan elektronik (RM17.5 bilion); jentera, kelengkapan dan peralatan (RM1.3 bilion); bijih logam dan serpihan logam (RM942.4 juta); lain-lain (RM922.2 juta); barangan optik saintifik (RM414.2 juta); serta barangan perkilangan berasaskan minyak kelapa sawit,” katanya.
Pada masa sama, Mohd Uzir berkata, kenaikan import mengikut penggunaan akhir adalah hasil permintaan yang lebih tinggi terhadap barangan modal dan barangan perantaraan.
Katanya, barangan modal meningkat 56.8 peratus atau RM7.5 bilion kepada RM20.8 bilion serta import barangan perantaraan berkembang 5 peratus atau RM3.2 bilion, berjumlah RM66.4 bilion berbanding November tahun lalu.
“Namun begitu, import barangan penggunaan (7.7 peratus daripada jumlah import) susut 1.7 peratus atau RM172.3 juta kepada RM9.9 bilion,” katanya. – UTUSAN










