Pesta Angin Timur lonjak budaya dan tradisi Perlis

Pesta Angin Timur lonjak budaya dan tradisi Perlis

PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang bergambar di pameran Arca Jerami yang menjadi ikon Pesta Angin Timur Perlis 2026 di Dataran Kangar Jaya, Perlis semalam. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pesta Angin Timur Perlis 2026, program ikonik negeri ini yang berlangsung di Dataran Kangar Jaya di sini berjaya menarik kehadiran lebih 300,000 pengunjung sepanjang tiga hari pesta berkenaan berlangsung.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, Pesta Angin Timur yang memasuki edisi ke-14 penganjuran itu juga berjaya mempromosi keunikan aktiviti kebudayaan dan tradisi negeri, sekali gus melonjakkan Perlis sebagai antara lokasi tumpuan pelancong dari seluruh dunia.

Katanya, di Perlis banyak aktiviti kesenian, kebudayaan dan tradisi yang akan sentiasa diketengahkan.

“Pesta Angin Timur menjadi medium terbaik untuk memperkenalkan Perlis kepada dunia luar sekali gus memacu sektor pelancongan dan ekonomi di negeri ini. Pesta yang diadakan sejak 2011 diilhamkan daripada keunikan fenomena angin timur di Perlis selain mengangkat kebudayaan masyarakat setempat,” katanya pada majlis perasmian Pesta Angin Timur 2026 di Dataran Kangar Jaya semalam.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohd. Yusri Mohd Yusoff dan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Mohd. Amran Mohd. Haris.

Pesta Angin Timur 2026 melibatkan penglibatan lebih 10,000 peserta menerusi 50 acara, demonstrasi, pameran dan gerai jualan dengan antara aktiviti menarik seperti pertandingan tangkap belut, gasing pangkah, kabaddi, permainan tradisional, kerbau besi berhias, lastik terbuka, tarik tali, himpunan basikal lipat, motosikal klasik dan banyak lagi.

Sementara itu, Mohd. Amran berkata, Pesta Angin Timur Perlis akan terus diperkasa, selaras dengan aspirasi kementerian yang menyasarkan pengiktirafan antarabangsa bagi pesta berteraskan warisan budaya tersebut.

Katanya, usaha tersebut dilaksanakan secara berperingkat mengekalkan identiti asal pesta yang sinonim dengan budaya serta aktiviti masyarakat bendang di negeri ini. – utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN