Kegagalan meletakkan sumber di tempat yang betul - Utusan Malaysia

Kegagalan meletakkan sumber di tempat yang betul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEBUHRAYA Sungai Besi dan plaza tolnya antara paling sibuk di negara ini ketika waktu puncak terutama pada hari kerja. Mereka yang menggunakan lebuh raya itu setiap hari tahu akan keperitannya.

Itu lumrah tinggal di Lembah Klang. Dengan jumlah penduduk lebih lapan juta orang kesesakan menjadi norma terutama di negara yang jualan kereta barunya berjumlah 820,000 unit setahun. Cuma apa yang menjadikan keadaan itu lebih buruk adalah kemasukan kenderaan berat.

Peraturan menyatakan bahawa kenderaan berat dilarang memasuki Kuala Lumpur antara pukul 6.30 pagi hingga 9.30 pagi, bukan saja melalui Sungai Besi tetapi dari semua arah.

Bagaimanapun siapa peduli? Setiap hari kenderaan berat tidak mengendahkan paparan larangan itu. Mereka akan berhenti sebelum plaza tol jika ada operasi polis trafik yang bekerja.

Maka bersusun mereka berhenti dan menunggu de­ngan taat. Polis trafik tidak boleh berada di plaza tol setiap hari kecuali Menteri Dalam Negeri menggaji puluhan ribu anggota trafik. Ketika ini, perkhidmatan polis turut me­ngalami kekurangan terutama dalam mengawasi kawasan yang semakin besar. Lihat saja kawasan operasi polis se­perti Kajang. Kawasan itu sudah membengkak sehingga ke sempadan Semenyih.

Apa yang sukar difahami mengenai kemasukan kende­raan berat ke Lembah Klang ketika waktu puncak dan memburukkan kesesakan bukan memerlukan penyelesaian bertaraf Einstein atau individu dengan ‘IQ profoundly gifted’.

Pihak berkuasa dan PLUS tahu setiap lori yang melalui plaza tol berdasarkan rekod pembayaran. Setiap plaza tol dilengkapkan kamera yang merakamkan pembayaran. Jika video viral boleh dijadikan bukti untuk siasatan dan pendakwaan, kenapa tidak rekod kamera di plaza tol.

Pihak berkuasa tidak perlu membuang masa meletakkan anggota di pintu masuk tol, sebaliknya meletakkan deretan CCTV dengan papan amaran ‘Pemanduan anda diawasi CCTV’.

Itu satu contoh di mana kegagalan beberapa kementerian dalam penggunaan sumber dalam mengurangkan penggantungan kepada manusia dalam melaksanakan tugas.

Kementerian Kesihatan berdepan masalah kekura­ngan doktor dan jururawat di hospital tetapi menyediakan sumber besar untuk pembangunan klinik desa yang kebanyakan tidak mempunyai cukup penduduk. Akhirnya kepakaran itu terbuang manakala kakitangan di hospital bergelut dengan kekurangan jururawat dan doktor.

Konsep perkhidmatan klinik desa yang banyak sesuai di era tiada jalan raya, kampung terlalu hulu dan tiada akses kepada perkhidmatan kesihatan.

Hari ini hampir 78 peratus negara ini adalah bandar dengan separuh bandar (semi urban) merupakan bandar-bandar kecil. Kampung dan estet telah bertukar menjadi bandar.

Kementerian Pendidikan juga berdepan masalah le­bih 3,000 sekolah dengan kurang pelajar tetapi kawasan bandar seperti Bangi kekurangan kelas dan guru.

Kesesakan disebabkan oleh kemasukan lori, ramai pesakit di hospital menunggu lama dan tidak cukup kelas disebabkan kegagalan membahagikan sumber yang betul, di tempat yang betul dan pada masa yang betul. – UTUSAN

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.