Pelancongan Sabah jana RM13.7 bilion pada 2024

Pelancongan Sabah jana RM13.7 bilion pada 2024

MOHD. UZIR MAHIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Industri pelancongan Sabah terus menjadi antara pemacu utama ekonomi negeri apabila menyumbang 12 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah dengan nilai RM13.7 bilion pada tahun 2024.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, industri pelancongan Sabah merekodkan pertumbuhan sebanyak 4.2 peratus pada tahun 2024 berbanding 4.5 peratus pada tahun sebelumnya, sekali gus meningkatkan sumbangannya kepada ekonomi negeri daripada 11.7 peratus pada 2023.

“Prestasi ini dipacu terutamanya oleh peningkatan aktiviti perdagangan runcit yang berkembang 3.2 peratus, diikuti perkhidmatan penginapan serta penyediaan makanan dan minuman yang meningkat 3.5 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, perkhidmatan pengangkutan dan jualan runcit bahan api kenderaan turut mencatat pertumbuhan 9.0 peratus, manakala agensi pengembaraan dan penempahan lain termasuk perkhidmatan kebudayaan, sukan dan rekreasi berkembang 5.9 peratus pada 2024.

“Dari segi sumbangan subsektor, perdagangan runcit kekal sebagai penyumbang terbesar dengan 47.3 peratus, diikuti perkhidmatan penginapan serta penyediaan makanan dan minuman sebanyak 29.7 peratus.

“Agensi pengembaraan serta perkhidmatan berkaitan pelancongan lain menyumbang 13.5 peratus, manakala perkhidmatan pengangkutan penumpang dan jualan runcit bahan api kenderaan menyumbang 9.5 peratus,” katanya.

Mengulas mengenai penggunaan pelancongan, Mohd. Uzir berkata, penggunaan pelancongan dalaman di Sabah melonjak 46.5 peratus kepada RM12.1 bilion pada 2024, disokong terutamanya oleh perbelanjaan pelancongan masuk.

“Perbelanjaan pelancongan inbound menyumbang 51.1 peratus daripada keseluruhan penggunaan pelancongan, manakala pelancongan domestik mencatat 48.9 peratus,” katanya.

Tambahnya, perbelanjaan pelancongan inbound meningkat kepada RM6.2 bilion, dipacu oleh pertumbuhan ketara dalam perkhidmatan pengangkutan penumpang serta jualan runcit bahan api kenderaan yang meningkat 64.5 peratus.

“Pertumbuhan kukuh ini sejajar dengan peningkatan ketibaan pelancong antarabangsa yang menyumbang hampir separuh daripada perbelanjaan pelancongan masuk, selari dengan pertambahan rangkaian penerbangan terus ke Kota Kinabalu dari Korea Selatan, China dan Brunei,” katanya.

Sementara itu, perbelanjaan pelancongan domestik di Sabah turut mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 45.9 peratus pada 2024, dipacu oleh aktiviti membeli-belah dan perkhidmatan pengangkutan. Destinasi tumpuan pelancong domestik termasuk Kota Kinabalu, Kundasang, Semporna dan Tawau.

“Dari aspek guna tenaga, industri pelancongan Sabah merekodkan peningkatan kepada 387,600 orang pada 2024 berbanding 362,700 orang pada tahun sebelumnya, dengan kadar pertumbuhan 6.9 peratus,” katanya.

Menurut DOSM, perdagangan runcit kekal mendominasi guna tenaga industri pelancongan Sabah dengan sumbangan 44.5 peratus, diikuti perkhidmatan penginapan dan penyediaan makanan dan minuman sebanyak 41.6 peratus pada tahun 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×