Operasi ladang Felda, FGV di Terengganu diteruskan seperti biasa

Operasi ladang Felda, FGV di Terengganu diteruskan seperti biasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan FGV Holdings Berhad (FGV) menegaskan notis-notis amaran yang dikeluarkan oleh kerajaan Negeri Terengganu tidak memberi sebarang kesan terhadap operasi ladang peneroka dan seluruh komuniti peneroka di FELDA Wilayah Terengganu.

Oleh itu, komuniti peneroka boleh meneruskan aktiviti sara hidup seperti biasa.

“Walau bagaimanapun, notis-notis amaran ini mempunyai implikasi langsung terhadap operasi Felda dan FGV khususnya perancangan jangka panjang dan kelancaran aktiviti komersial yang berkaitan.

“Impaknya turut merangkumi penurunan hasil yang menyumbang kepada pendapatan negara sekali gus memberi kesan kepada komuniti peneroka yang bergantung kepada prestasi sektor perladangan.

“FELDA dan FGV kekal optimis bahawa penyelesaian terbaik akan dapat dicapai melalui proses perundangan yang teratur dan semangat kerjasama antara semua institusi kerajaan yang terlibat,” menurut kenyataan.

Felda dan FGV beriltizam untuk memastikan setiap tindakan yang dilaksanakan adalah selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dengan tetap memelihara kepentingan pekerja, komuniti peneroka, menghormati bidang kuasa negeri serta menyumbang kepada kestabilan industri perladangan negara secara keseluruhan.

Felda dan FGV mengambil maklum dan memandang serius notis-notis amaran pendudukan secara tidak sah dan kesalahan menceroboh di daerah Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Kemaman, Terengganu yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri itu pada 30 November, 1 dan 2 Disember 2025.

Notis-notis amaran ini merujuk kepada ladang lot Felda dan FGV.

Walaupun kerajaan Negeri Terengganu mempunyai bidang kuasa dalam urus tadbir tanah, namun notis-notis amaran yang dikeluarkan yang memberikan tempoh tiga hari untuk Felda dan FGV mengosongkan atau merobohkan struktur binaan serta memusnahkan tanaman merupakan tempoh yang amat ketat, menekan dan sangat terhad atau singkat dalam konteks pengurusan ladang dan operasi komersial.

Felda mempunyai hak dan asas yang jelas serta kukuh di bawah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 [Akta 530], yang memberi mandat dan tanggungjawab secara langsung kepada Felda untuk membangunkan Kawasan
Penempatan Berkelompok (GSA).

Ini juga selaras dengan kuasa yang diberikan di bawah Akta Pembangunan Tanah 1956 [Akta 474].

Terdahulu, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Datuk Dr Azman Ibrahim, dilaporkan berkata, kerajaan negeri memberi tempoh tiga hari berakhir Sabtu lalu, supaya FGV mengosongkan 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN