Misi Pecutan Eksport ke Kemboja raih jualan RM41.29 juta

Misi Pecutan Eksport ke Kemboja raih jualan RM41.29 juta

MISI Pecutan Eksport ke Kemboja raih jualan RM41.29 juta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) merekodkan jumlah jualan sebanyak RM41.29 juta dalam Misi Pecutan Eksport (EAM) ke Kemboja dari 25 hingga 27 November 2025 lalu.

Menurut kenyataannya, ini sekali gus mengukuhkan komitmen Malaysia untuk mempererat hubungan perdagangan dan pelaburan dengan salah satu pasaran ASEAN yang berkembang pesat.

Katanya, jualan tersebut hasil daripada 104 pertemuan perniagaan yang diatur antara pengeksport Malaysia dan pembeli dari Kemboja, mencerminkan minat yang kukuh terhadap produk Malaysia merentasi pelbagai sektor.

“Prestasi ini didorong oleh permintaan bagi barangan pengguna cepat laris (FMCG), makanan dan minuman, produk penjagaan diri serta detergen, input pertanian seperti baja, selain produk berasaskan petroleum.

“Sorotan utama misi ini ialah Seminar Perniagaan Malaysia–Kemboja yang berlangsung pada 26 November 2025, yang menghimpunkan wakil kanan kerajaan serta persatuan industri terkemuka dari kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan.

Seminar tersebut diserikan dengan kehadiran Setiausaha Negara di Kementerian Perdagangan Kemboja, Sim Sokheng yang menyambut baik usaha berterusan Matrade dalam memperdalamkan penglibatan ekonomi dua hala.

Beliau menyatakan minat kukuh Kemboja untuk meningkatkan import dari Malaysia serta menyampaikan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan perdagangan dua hala Malaysia–Kemboja kepada AS$1 bilion (RM4.08 bilion) menjelang akhir 2025.

Sehingga Oktober 2025, Malaysia telah pun mencatatkan perdagangan bernilai AS$960 juta (RM3.93 bilion) dengan Kemboja, meletakkan kedua-dua negara pada landasan kukuh untuk mencapai sasaran tersebut.

Seminar itu turut menampilkan perkongsian pandangan daripada Presiden Persekutuan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Kemboja (FASMEC), Oknha Te Taingpor serta Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Usahawan Muda Kemboja (YEAC), Ren Sina.

Kedua-dua pemimpin menekankan peluang yang semakin berkembang untuk pengeksport Malaysia menjalin kerjasama dengan ekosistem perusahan kecil dan sederhana (PKS) Kemboja yang sedang berkembang serta rangkaian usahawan muda yang semakin meningkat.

Matrade berkata, penglibatan perdagangan Malaysia di Kemboja terus menunjukkan momentum positif sejajar dengan peningkatan kuasa beli pengguna, pertumbuhan kelas pertengahan serta permintaan yang semakin meningkat terhadap barangan import yang berkualiti dan boleh dipercayai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN