PETALING JAYA: Keyakinan syarikat penerbangan terhadap pasaran penerbangan Malaysia terus kukuh apabila beberapa laluan baharu dilancarkan merentasi rangkaian lapangan terbang negara sepanjang November dan Disember 2025.
Pelancaran laluan ini sekali gus memperluas akses serantau serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab penerbangan strategik Asia Tenggara.
Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memaklumkan dalam kenyataan, antara laluan baharu yang diperkenalkan termasuk perkhidmatan Spring Airlines dari Shanghai ke Kuala Lumpur serta Xiamen Airlines yang membuka laluan Hangzhou–Kuala Lumpur.
Katanya, syarikat penerbangan 9 Air turut memulakan perkhidmatan yang menghubungkan Haikou ke Kuching dan Pulau Pinang, manakala Hong Kong Express melancarkan laluan baharu dari Hong Kong ke Kota Kinabalu.
“Selain itu, TransNusa memulakan penerbangan Jakarta–Pulau Pinang, sementara Loong Air mengendalikan penerbangan sewaan dari Shenzhen ke Kuching.
“Batik Air Malaysia pula memperluas rangkaiannya dengan perkhidmatan baharu dari Subang ke Singapura, Jakarta, Kuala Namu, Kansai, Langkawi dan Johor Bahru, Singapura ke Ipoh dan Pulau Pinang serta laluan antarabangsa baharu dari Tashkent ke Langkawi,” katanya.
Menurut MAHB, perkembangan rangkaian penerbangan tersebut selari dengan peningkatan prestasi trafik penumpang.
Pada November 2025, rangkaian lapangan terbang tempatan merekodkan 8.7 juta pergerakan penumpang melibatkan 4.7 juta penumpang antarabangsa dan empat juta penumpang domestik.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kekal sebagai pintu masuk utama negara dengan mengendalikan 5.5 juta penumpang, meningkat satu peratus berbanding Oktober 2025.
“Jika digabungkan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISG), jumlah pergerakan penumpang Kumpulan Malaysia Airports mencecah 12.9 juta bagi bulan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, kumpulan itu terus memberi tumpuan kepada pengembangan keterhubungan udara di samping memperkukuh kecekapan operasi lapangan terbang bagi menghadapi peningkatan permintaan perjalanan.
“Menjelang Tahun Melawat Malaysia, kami bekerjasama rapat dengan rakan syarikat penerbangan bagi menyokong peluasan rangkaian, mengoptimumkan jadual penerbangan serta meningkatkan kecekapan operasi hujung ke hujung di lapangan terbang,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan kapasiti, tahap perkhidmatan dan aliran penumpang sejajar dengan pertumbuhan, di samping menyediakan pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan boleh dipercayai.
Dalam pada itu, Malaysia Airports menjangkakan peningkatan ketara pergerakan penumpang menjelang musim cuti sekolah dan perayaan akan datang.
Penumpang dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal termasuk memberi masa mencukupi untuk proses daftar masuk, pemeriksaan keselamatan dan penghantaran bagasi.
Orang ramai turut diingatkan mematuhi tempoh ihsan 10 minit di kawasan turun naik penumpang serta digalakkan menggunakan aplikasi MYAirports bagi mendapatkan maklumat penerbangan masa nyata dan panduan navigasi lapangan terbang. – UTUSAN










