PETALING JAYA: Sektor bahan binaan negara dijangka mencatat peningkatan ketara dalam keuntungan teras sebanyak 68 peratus pada 2026 sebelum sederhana kepada 16 peratus pada 2027.
CIMB Securities Sdn. Bhd. (CIMB Securities) berkata, pemulihan itu akan diterajui oleh Ann Joo Resources Bhd. yang dijangka kembali mencatat keuntungan tahun depan.
“Ini berikutan peningkatan permintaan bagi produk hiliran bernilai tambah, termasuk keluli hijau untuk pasaran Singapura dan kerja-kerja berkaitan elektrifikasi.
“Malayan Cement Bhd. juga dijangka meraih manfaat daripada kecekapan kos yang lebih baik serta peningkatan bahagian pasaran.
“Tambahan lagi, pemulihan perbelanjaan infrastruktur domestik dari separuh pertama 2026 dan seterusnya hingga 2027 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan memberi sokongan tambahan
“Pemangkin lain termasuk pelaksanaan pusat data berskala besar dan pembangunan industri, yang seharusnya meningkatkan aliran pesanan untuk simen dan keluli,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Firma berkata, kenaikan 15 hingga 40 peratus baru-baru ini dalam caj pengangkutan dan harga produk kuari telah mewujudkan tekanan kos struktur merentasi sektor tersebut, sekali gus mengekalkan harga bahan binaan utama pada paras tinggi.
“Kenaikan ini berpunca daripada peraturan baharu berkaitan muatan berlebihan yang dikuatkuasakan pada pertengahan Oktober dan telah menyebabkan pemindahan kos secara langsung dalam industri simen.
“Pengeluar keluli juga berkemungkinan menjadikan kos logistik yang lebih tinggi ditanggung oleh pelanggan memandangkan margin yang sudah nipis di tengah-tengah harga keluli global yang lemah,” ujarnya
CIMB Securities berkata, kilang-kilang yang terletak di lokasi strategik memberi kelebihan logistik kepada syarikat bahan binaan, membolehkan mereka memenuhi keperluan di hab permintaan utama.
“Ini seperti Pulau Pinang, Selangor dan Johor meskipun terdapat kebimbangan rantaian bekalan dalam jangka pendek.
“Kemudahan Ann Joo di Pulau Pinang pula berada pada kedudukan baik untuk projek infrastruktur di utara.
“Begitu juga, kilang konkrit Malayan Cement terletak secara strategik berhampiran rangkaian kereta api, pelabuhan utama seperti Kanthan, Langkawi dan Pasir Gudang serta pusat permintaan utama di Selangor dan Johor.
“Digabungkan dengan armada 1,500 buah lori, ini memberikan syarikat kelebihan dalam memastikan penghantaran yang boleh dipercayai dan mengekalkan daya saing harga berbanding pesaing yang bergantung pada pengangkutan pihak ketiga,” katanya.
Firma itu mengutamakan Malayan Cement kerana rangkaian logistiknya yang kukuh dan kedudukan pasaran yang dominan, sambil mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) RM7.50 sesaham.
Sementara itu, ia mengekalkan saranan ‘pegang’ bagi Ann Joo dengan TP 65 sen sesaham, memetik margin keluli tempatan yang suram dan pelaksanaan cukai karbon pada 2026. – UTUSAN










