KDNK Malaysia diunjur berkembang 4.6 peratus pada 2026 - Utusan Malaysia

KDNK Malaysia diunjur berkembang 4.6 peratus pada 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertumbuhan ekonomi negara dijangka sederhana namun kekal kukuh pada kadar 4.6 peratus pada 2026, lebih tinggi berbanding julat sasaran Kementerian Kewangan iaitu 4.0 hingga 4.5 peratus, menurut PublicInvest Research. 

Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan itu akan terus dipacu permintaan domestik dengan perbelanjaan pengguna swasta dijangka kekal berdaya tahan, disokong keadaan pasaran buruh yang stabil, bantuan fiskal bersasar serta pemulihan beransur-ansur sektor perkhidmatan. 

“Faktor penentu utama ke hadapan adalah pelaksanaan pelaburan, dengan pasaran semakin menilai perbezaan antara pengumuman projek dan realisasi sebenar di lapangan.

“Persekitaran ekonomi global dijangka memasuki 2026 dengan keadaan yang lebih stabil berbanding tahun sebelumnya, namun masih berdepan cabaran dasar dan ketidaktentuan penilaian pasaran susulan kejutan tarif pada 2025,” katanya dalam nota penyelidikan. 

Menurut PublicInvest Research, pertumbuhan ekonomi dunia pada 2026 diunjur sederhana dengan perbezaan prestasi yang semakin ketara antara rantau. 

Ujarnya, Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan global, mencatatkan tahun keempat berturut-turut pertumbuhan melebihi trend, disokong oleh pelonggaran kekangan tenaga buruh serta pelaburan berkaitan kecerdasan buatan (AI). 

“Namun, inflasi yang masih melebihi sasaran mengehadkan ruang pelonggaran dasar monetari secara agresif. Pada masa sama, isu fiskal semakin menjadi perhatian pasaran. 

“Defisit besar dan peningkatan penerbitan hutang kerajaan meningkatkan risiko pelabur menilai semula ketahanan inflasi dan premium tempoh, walaupun kadar faedah dasar berpotensi diturunkan. 

“Ketidakseimbangan perdagangan global pula dijangka berlarutan dalam jangka terdekat, menjadikan pasaran kurang bertolak ansur terhadap kelemahan dasar dan penilaian aset yang berlebihan,” katanya. 

Selain itu, katanya, inflasi Malaysia dijangka kekal terkawal dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) pada paras sekitar 1.9 peratus pada 2026, selari dengan normalisasi sederhana harga dan ketiadaan pelarasan mendadak harga kawal selia. 

“Dalam keadaan pertumbuhan yang stabil dan inflasi terkawal, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus sepanjang 2026 bagi mengekalkan fleksibiliti dasar monetari.

“Walaupun perkembangan luaran masih memberi kesan kepada Malaysia, impaknya kini lebih tertumpu kepada penilaian harga aset berbanding arah pertumbuhan global. 

“Risiko perdagangan tidak lagi bersifat menyeluruh, sebaliknya lebih tertumpu kepada sektor tertentu seperti semikonduktor,” katanya. 

Bagi separuh pertama 2026, permintaan domestik dijangka menjadi penampan utama kepada risiko penurunan, manakala realisasi pelaburan akan menentukan potensi peningkatan pertumbuhan. 

“Keyakinan pasaran bergantung kepada kemajuan sebenar projek, termasuk aliran pembiayaan, aktiviti pembinaan dan limpahan kepada pekerjaan serta sektor perkhidmatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN